KUCHING: Pasukan pilihan Terengganu mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang pada aksi pembukaan kumpulan A futsal lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di sini hari ini.
Ketua pasukan Muhammad Ikhwan Abdullah muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal Terengganu pada minit ke-19 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Kota Samarahan dekat sini.
Kemenangan itu sekali gus menyuntik semangat naib juara SUKMA 2018 itu untuk meraih tiga mata apabila berdepan Sabah pada pertemuan kedua kumpulan, esok.
Terdahulu, Sabah gagal menyaingi kehebatan Melaka setelah tumpas 5-9 pada aksi pertama pagi tadi.
Sementara itu, dalam pertembungan kumpulan B, pasukan tuan rumah terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Perak setelah terikat 4-4.
Perak terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Danish Syaufi Firhan Ramlie seawal minit pertama sebelum Sarawak menyamakan kedudukan hasil jaringan sendiri pemain lawan, Muhammad Haziyhidawi Mazlan dua minit kemudian.
Tersentak dengan jaringan tersebut, barisan pemain Perak menggandakan asakan untuk mendahului Sarawak 3-1 menerusi jaringan Muhammad Haziyhidawi dan Mohamad Amirul Aiman Mohamad Hamdan, kedua-dua gol pada minit ke-12.
Sarawak kemudian berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-20 melalui jaringan Asyraff Zakaris dan gol sendiri oleh pemain Perak, Mohamad Amirul Aiman pada minit ke-27 menaikkan lagi semangat pemain tuan rumah.
Mohammad Aedel Izzwan Iswandi kemudian meletakkan Sarawak di hadapan dengan kedudukan 4-3 pada minit ke-35.
Ketika Sarawak di ambang kemenangan, Abdul Hadi Muhamad Azhan muncul penyelamat Perak apabila menjaringkan gol pada minit terakhir permainan untuk mengikat kedudukan 4-4 sehingga wisel penamat.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan kumpulan B, Selangor menang tipis 3-2 ke atas Johor.
Kali terakhir acara futsal dipertandingkan di SUKMA adalah pada 2018 di Perak. – BERNAMA