KUCHING – Penyokong Selangor sudah mampu bersorak lebih awal untuk meraikan kejayaan skuad wanitanya muncul juara acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2024 apabila tewaskan Sabah 3-1 di Stadium Negeri, sebentar tadi.
Kejayaan anak buah Osmera Omaro itu memastikan sejarah baharu buat arena bola sepak Selangor memandangkan ini adalah penganjuran sulung bola sepak wanita di pentas Sukma.
” Tahniah kepada pemain yang berusaha keras, jadi saya harap ini adalah permulaan yang baik buat kami. Sememangnya kami datang dengan sasaran untuk jadi juara.
“Kita baharu saja bermula Februari lalu dengan memberikan peluang kepada pemain muda. Harapan daripada penyokong Selangor adalah untuk mendapatkan lebih banyak kejayaan namun bola sepak lelaki tidak bernasib baik,” katanya.
Pada perlawanan kali ini, Sabah membuka jaringan seawal minit ke-11 menerusi Azzlyeanieh Kinuli namun kelebihan itu hanya bertahan enam minit sebelum Nur Adrienna Zamzaihiri meledak gol penyamaan.
sumber: kosmo
Tiga minit selepas babak kedua bersambung, Nurin Umairah meletakkan Selangor di depan dan selang lima minit selepas itu, Selangor makin selesa apabila memperoleh gol ketiga menerusi Ayuna Anjani Lamsin.
Dalam aksi di Stadium Tertutup Samarahan, Kota Samarahan, Selangor turut menyambar pingat emas acara futsal selepas kalahkan tuan rumah 2-0.