Kuala Lumpur: Setiap pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak pernah rasa puas dengan kejayaan yang diperoleh sebaliknya mereka sangat inginkan kejuaraan demi kejuaraan dalam setiap kejohanan.
Penyerang JDT, Bergson Da Silva berkata, untuk perlawanan akhir Piala FA menentang Selangor FC, Harimau Selatan melakukan persediaan rapi untuk memastikan mereka dapat menjulang piala itu lagi.
“Kami membuat persediaan yang banyak untuk perlawanan ini. Semua perlawanan akhir, kami buat seperti ini. Kami buat persediaan dan tunjukkan karakter sebenar kami.
“Kami perlu ucapkan terima kasih kepada bos (Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim) untuk terus menekan dan membangun dalam momen-momen penting pada musim ini. Kami tidak boleh duduk berehat dalam kelab ini dan tidak boleh berpuas hati dengan satu-satu kejayaan. Kami perlu sentiasa dahagakan (kejayaan),” katanya.
Pada masa sama, pemain kelahiran Brazil itu memberitahu dirinya tiada rahsia apabila sering menjaringkan gol di pentas final sebaliknya hanya bekerja keras dalam latihan untuk mendapatkan detik itu.
“Untuk saya, saya tiada rahsia. Hanya bekerja keras setiap hari. Rakan sepasukan saya banyak membantu dan jika mereka mempunyai idea, mereka meneruskannya dan saya membantu mereka,” katanya.
Sementara itu, penjaring gol kelima, Heberty Fernandes menganggap mereka memang layak serta berhak untuk muncul juara selepas menampilkan prestasi serta permainan yang cukup baik dalam perlawanan itu.
“Kami fikir ini (aksi menentang Selangor) adalah permainan yang sukar. Kami menghormati antara satu sama lain, tetapi kami melakukan yang terbaik. Semua pemain bekerja keras, mencipta peluang dan menjaringkan gol.
sumber: HM
“Ia adalah satu perasaan cukup bagus untuk menjaringkan gol di pentas akhir kerana ia membawa pelbagai emosi. Tetapi, apa yang lebih mengujakan adalah apabila saya dapat membantu pasukan (muncul juara),” katanya.
Terdahulu JDT mudah membenam Selangor FC 6-1 di pentas akhir Piala FA semalam (kelmarin) dan enam gol Harimau Selatan hadir menerusi jaringan hatrik Juan Muniz manakala Bergson, Heberty dan Arif Aiman Hanapi masing-masing turut meledak satu gol.