Pemain Lubnan Tidak Berpuas HatiĀ 

Kuala Lumpur: Pemain Lubnan Mohamad Haidar mengakui beberapa keputusan pengadil Thoriq Munir Alkatir ‘membunuh’rentak perlawanan pasukannya hingga tewas 0-1 kepada Malaysia dalam aksi final Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam semalam.

Mohamad berkata, terdapat keputusan pengadil dilihat seolah-olah memberi ‘hadiah’kepada tuan rumah terutamanya membabitkan keputusan pada minit ke-78.

Pemain berusia 34 tahun itu berkata, pengadil sepatutnya memberhentikan perlawanan ketika itu yang mana salah seorang pemain Harimau Malaya mengalami kecederaan.

“Pada separuh masa kedua, pengadil seolah-olah memberi hadiah kepada Malaysia. Dia (pengadil) membunuh perlawanan. Kami sudah beraksi dengan ‘fairplay’ sejak permulaan permainan.

“Dia perlu mengawal perlawanan dengan lebih baik. Kami sudah menghentikan permainan kerana pemain mengalami kecederaan, namun kenapa dia tidak menghentikan perlawanan?.

“Apa pun ia perlawanan yang baik buat kami. Saya harap kami boleh memberikan aksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Terdahulu, insiden pada minit ke-78 itu mencetuskan suasana tegang apabila pemain Lubnan dilihat sudah memberhentikan permainan apabila salah seorang pemain Malaysia mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, Akhyar Rashid yang pada mulanya dilihat seakan memberi isyarat mahu mengeluarkan bola bertindak membuat hantaran kepada Arif Aiman Hanapi sebelum dia dikasari pemain Khalil Khamis.

Lebih malang, kekasaran yang dilakukan Khamis ke atas Arif Aiman menyebabkan Lubnan terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila dia dilayangkan kad kuning kedua.

Situasi itu turut mencetuskan suasana panas di bangku simpanan membabitkan pegawai kedua-dua pasukan dengan pengendali Lubnan, Miodrag Radulovic dilihat tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

sumber: HM

“Kami tidak berpuas hati dengan kriteria (tindakan) pengadil dan kami datang ke kejohanan persahabatan dengan fairplay. Beberapa situasi tidak jelas, tetapi tidak mengapa ia berlaku dalam bola sepak,” kata Radulovic selepas perlawanan.