JOHOR BAHRU: Adakah kelibat tujuh pemain baharu dibawa masuk Johor Darul Ta’zim (JDT) pada jendela perpindah kedua bermula 26 Ogos lalu akan diturunkan dalam aksi menentang Penang FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok?
Antara yang dibawa masuk adalah penjaga gol Andoni Zubiaurre, Eddy Pascual, Enzo Lombardo, Iker Undabarrena, Park Jun-heong, Eddy Israfilov dan Jorge Obregon bagi persiapan menghadapi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada pertengahan bulan ini.
Justeru semuanya bergantung kepada perancangan pengendali JDT, Hector Bidoglio yang perlu mempersiapkan pasukan berdepan Shanghai Port FC pada aksi pertama ACLE di Stadium Bola Sepak Pudong, China pada 18 September ini.
Sewajarnya Bidoglio harus mengambil kesempatan aksi menentang skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli dengan menurunkan barisan terkuat dan dibarisi pemain baharu bagi meraih minit permainan berkompetitif selain membentuk persefahaman jitu sebelum ke China.
Walaupun skuad Harimau Selatan sudah menempuh dua aksi persahabatan dengan dua kemenangan selepas menewaskan kelab Liga 1 Thailand, Port FC 3-1 dan mengejutkan skuad kebangsaan Singapura 3-0 namun ia belum mencukupi tatkala aksi menentang kelab dari China lebih mencabar.
Bidoglio berkata aksi persahabatan menentang Port FC dan pasukan kebangsaan Singapura berjaya memberi pendedahan terbaik buat barisan pemain baharu.
“Aksi persahabatan dalam dua perlawanan yang diharungi beri peluang untuk pemain yang baharu di bawa masuk mendapat minit permainan selain pemain yang kurang bermain dalam saingan liga tempatan.
“Perlawanan persahabatan itu juga membolehkan pemain baharu menyesuaikan diri bersama skuad dan membina persefahaman di atas padang,” katanya.
Seharusnya misi Bidoglio ibarat serampang dua mata bukan sahaja memburu kemenangan ke atas Penang FC bagi mengekalkan kedudukan teratas liga dan mempersiapkan pasukan bagi mengharungi cabaran saingan elit Asia.
Apapun, JDT perlu berwaspada dengan corak taktikal yang baka dipamerkan skuad The Panthers yang turut membawa masuk pemain import baharu dari Australia, Dylan Wenzel-Halls yang bakal menambah ketajaman barisan serangan pasukan itu.
sumber: BH
Untuk memastikan kemenangan menjadi realiti buat JDT, barisan tengah perlu lebih kreatif bagi mencorak gerakan yang lebih efektif dengan kombinasi di posisi sayap kanan dan kiri yang bakal mempertaruhkan Arif Aiman Hanapi dan Lombardo untuk mencipta gol.