Skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC mungkin terpaksa menggunakan ‘pelan B’ 

Alor Setar: Skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC mungkin terpaksa menggunakan ‘pelan B’ apabila menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu ini.

Ini berikutan pemain skuad Liga Super masih tidak turun menjalani latihan sejak seminggu lalu dan ini mencetuskan kegusaran skuad Sang Kenari tidak akan menampilkan keseluruhan pemain utamanya pada aksi ke-10 Liga Super itu.

Masalah ketiadaan pemain dalam latihan ini difahamkan berkisar mengenai tunggakan gaji yang masih melanda KDA FC sejak beberapa bulan sebelum ini yang jelas mengecewakan pemain dan penyokong.

Pemain turut meluahkan kekecewaan di media sosial selepas menghadapi masalah kewangan yang menyebabkan mereka terbeban dan menyebabkan mereka tidak dapat hadir menjalani latihan di padang.

Menurut sumber, latihan pasukan yang kini dijalankan di Stadium Darul Aman sekadar dibarisi pemain muda seperti dimuatnaik dalam laman rasmi KDA, semalam.

“Masa untuk mempersiapkan pasukan utama bagi menghadapi Liga Super semakin suntuk apabila pemain utama dilihat belum turun menjalani latihan.

“Latihan masa ini hanya dibarisi pemain muda daripada skuad Bawah 23 tahun (B-23) yang dikendalikan Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain dan barisan kejurulatihan.

sumber: HM

“Jadi, tidak mustahil pemain muda akan diturunkan berdepan KL City, Sabtu ini,” katanya.