jika gagal berbuat demikian kemungkinan ini akan berlaku pada pasukan Sang Kenari

Kuala Lumpur: Barisan pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC boleh dikatakan cukup derita ketika ini apabila dikhabarkan tidak memperoleh gaji dalam tempoh tujuh bulan.

Situasi semakin meruncing melanda kelab berpangkalan di utara tanah air dengan barisan pemain yang ada ketika ini beraksi secara percuma dengan kali terakhir dibayar adalah pada Februari lalu.

Menurut sumber dalaman KDA FC memaklumkan ketika ini kantung pasukan terbabit semakin menipis sekali gus tidak berkemampuan untuk membayar gaji pemain walaupun hanya untuk tempoh sebulan.

Katanya, pemilik majoriti KDA FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar ketika ini berusaha untuk mencari dana bagi membayar tunggakan gaji terbabit. Namun jika gagal berbuat demikian kemungkinan pasukan terkenal dengan gelaran Sang Kenari bakal berkubur dalam tempoh terdekat ini.

“Jika diikutkan KDA FC hanya membayar setengah bulan saja beberapa bulan lalu dan selepas itu tiada lagi pembayaran gaji kepada pemain. Kali terakhir gaji dibayar jika tidak silap dalam Februari lalu. Pemain ketika ini boleh dikatakan beraksi secara percuma dan demi penyokong yang hadir ke stadium.

“Saya menerima banyak aduan daripada pemain dengan ada antara mereka mahu mencari kerja sampingan bagi menampung perbelanjaan harian,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, media melaporkan pemain KDA FC memboikot sesi latihan sejak beberapa hari lepas ekoran dakwaan tidak menerima bayaran gaji sejak beberapa bulan.

Malah, pada bulan lalu Mohd Daud mengesahkan pemain Kedah kini ditekan masalah di luar padang namun beliau tidak menjelaskan secara terperinci mengenai situasi dihadapi.

Selain itu, sumber itu memberitahu barisan pemain yang ada ketika ini terpaksa bertahan berikutan tidak menerima sebarang tawaran daripada pasukan lain.

“Jika mereka mendapat tawaran sudah pastinya akan cabut kerana tidak menerima gaji dalam tempoh yang cukup lama,” katanya.

sumber: HM

Sementara itu, usaha Arena Metro untuk mendapatkan pengesahan daripada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Shahrul Samsudin dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Muhammad Radhi Mat Din tiada respon manakala kiriman pesanan Whatsapp juga tidak dibalas.