KUALA LUMPUR: Apa sebenarnya maksud kenyataan dilontarkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerusi satu komen beliau di laman Instagram, Jumaat lalu?
Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengeluarkan komen seakan memberi bayangan terhadap masa depan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk berada di bawah kendaliannya.
“Saya tidak akan sertai FAM, FAM akan sertai saya,” kata Tunku Mahkota Ismail ketika membalas komen pelayar Internet di Instagram yang bertanyakan bila beliau akan menyertai FAM.
Ketika diminta mengulas mengenai situasi ini, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa menyifatkan kenyataan Tunku Mahkota Ismail itu boleh dianggap sebagai satu ‘tembakan sinis’ kepada kepemimpinan tertinggi badan induk itu.
Malah, ini mungkin turut berkaitan dengan prestasi hambar skuad kebangsaan yang turun satu anak tangga untuk menghuni tangga ke-133 dunia selain kegagalan skuad muda negara iaitu skuad Bawah 17 tahun (B-17) dan skuad Bawah 20 tahun (B-20) mara ke Piala Asia.
“Sebenarnya mentafsir Al-Quran adalah lebih mudah daripada mentafsir kenyataan Tunku Mahkota Ismail. Banyak spekulasi yang boleh kita tafsirkan daripada kenyataan ini.
“Mungkin juga kenyataan ini sebagai teguran sinis daripada beliau selepas melihat FAM tidak dapat menguruskan pasukan negara daripada peringkat bawah sehingga ke atas.
“Mungkin Tunku Mahkota Ismail sengaja mengusik peminat bola sepak negara,” kata Sadek.
Bagaimanapun, Sadek turut menegaskan ia bukanlah satu langkah yang baik untuk FAM sekiranya perlu bernaung di bawah kendalian Tunku Mahkota Ismail yang ketika ini memiliki kepentingan dalam skuad Harimau Selatan.
“Jika perkara ini benar, sudah tentu tidak akan ada sifat neutral dan tidak mungkin institusi sukan dengan perlembagaan sendiri boleh duduk di bawah satu persatuan sukan yang lain.
“Persoalannya, adakah peranan seperti ini dibenarkan dalam perlembagaan FAM, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ataupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)?
sumber: BH
“Jadi saya melihat perkara ini mungkin hanya gurauan daripada Tunku Mahkota Ismail tetapi sama ada spekulasi ini benar ataupun tidak, hanya mereka yang terbabit boleh menjawabnya,” katanya.