TFC mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia

Kuala Terengganu: Naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir saingan Piala Malaysia selepas mengetepikan Melaka FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.

Biarpun seri 0-0 pada aksi kedua Pusingan 16, skuad Penyu kendalian Badrul Afzan Razali berjaya menewaskan skuad Hang Tuah dengan agregat 4-1 menerusi kemenangan pada aksi pertama minggu lalu.

Dengan kemenangan itu, TFC bakal berdepan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang berjaya bangkit menumpaskan PDRM FC dengan agregat 4-2.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan dilihat gagal memperagakan aksi terbaik masing-masing selepas padang basah akibat hujan dan angin sekali gus menyaksikan setiap gerakan mereka gagal disudahkan dengan baik.

Malah bangku pemain simpanan skuad pelawat juga tidak ketinggalan ditiup angin mengakibatkan beralih di kedudukan asal.

Sepanjang babak pertama, TFC yang memakai jersi baharu berwarna hijau hanya mendapat dua percubaan tepat menerusi sepakan percuma kapten, Safawi Rasid yang singgah di tiang gol pada minit ke-34.

Seminit kemudian menerusi sepakan sudut, pemain pertahanan, Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni hampir mencetak namanya sebagai penjaring menerusi tandukannya yang terkena palang.

Pasukan pelawat kendalian K Devan pula hanya mendapat satu peluang menarik melalui rembatan dalam kotak penalti Abdul Azim Rahim pada minit keempat yang berjaya diselamatkan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

Bersambung babak kedua, tuan rumah berpeluang untuk memimpin perlawanan, namun rembatan Safawi pada minit ke-53 tersasar.

Pemain import, Nelson Bonilla juga berpeluang untuk mencetak namanya sebagai penjaring menerusi tandukan pada minit ke-62 yang berjaya diselamatkan penjaga gol.

sumber: BH

Kedudukan terikat tanpa jaringan itu kekal hingga tamat perlawanan.