Saya kena berlaku adil

KETUA Jurulatih interim Kedah Darul Aman (KDA) FC, Victor Andrag tetap memberikan penghargaan tertinggi buat pasukannya walaupun tewas 2-3 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.

Menurutnya, barisan pemain muda dengan bimbingan pemain senior serta import telah memberikan segala-galanya, namun pengalaman membezakan kedua-dua pasukan.

“Dalam fikiran, sejujurnya hari ini saya rasa penat dengan dua hari lepas, saya kongsi dengan kakitangan banyak perkara yang kita perlu fikir. Kita tidak boleh sia-siakan bakat yang ada. Kita perlu lakukan sesuatu.

“Malam ini lapan pemain muda berada dalam pasukan dan mereka berjaya tunjukkan karakter mereka. Mereka mahu tunjukkan, jika saya abaikan, siapa lagi yang mahu bantu.

“Saya kena berlaku adil untuk beri peluang kerana mereka juga memberikan komitmen sepanjang tempoh latihan,” katanya pada sidang akhbar pada malam Jumaat.

Kekalahan tipis tersebut menyaksikan KDA FC kekal di tangga ke-10 Liga Super dengan enam menang, lima seri dan lapan tewas bagi mengutip 20 mata daripada 19 perlawanan manakala KL City berada di tangga keenam selepas 10 menang, empat seri serta tujuh tewas mengumpul 28 mata selepas 21 perlawanan.

Jelas Victor, pemain senior juga banyak memberikan bimbingan kepada barisan muda untuk membuktikan kemampuan masing-masing selepas diberikan peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

Menurutnya, dengan masalah kewangan yang dihadapi oleh pasukan, beliau tidak mampu memaksa dan menuntut komitmen lebih daripada mereka terutamanya pemain senior namun sebahagian mereka tetap berusaha memberikan sumbangan.

“Kita bergerak dengan apa yang ada, yang sanggup demi masa depan mereka, yang belum ada nama dalam kancah bolasepak tempatan, yang ini (pemain muda) mungkin nak cari rentak.

“Itu yang membuatkan saya tidak boleh minta apa lagi, sebab bila beri peluang, semua telah beri segalanya dalam kesebelasan dan juga simpanan pasukan,”ujarnya.

sumber : SH

Tambah Victor, pasukan kejurulatihan akan terus fokus kepada baki lima perlawanan Liga Super dengan pemain yang masih mempunyai kemahuan untuk berjuang demi Hijau Kuning.

KDA FC seterusnya akan terbang ke Sarawak bagi menghadapi aksi tertunda Liga Super menentang Kuching City FC pada 12 Mac ini.