
Kuala Lumpur: Aksi luar biasa Safawi Rasid ketika bertemu Sabah FC malam tadi mencuri tumpuan apabila sepakan penjuru lencongnya terus menerjah jaring pada minit ke-83, menghadiahkan gol penyelamat buat pasukan tuan rumah dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan 2-2.
Jaringan luar biasa itu, yang dikenali sebagai ‘gol Olimpico’, berpunca daripada kesilapan penjaga gol lawan, Damien Lim, yang gagal mengeluarkan bola ketika cuba menyelamatkannya menggunakan kaki.
Bola yang berputar deras itu meluncur rendah di sebelah tiang tanpa sebarang sentuhan lain, sekali gus mengundang sorakan gemuruh penyokong.
Kehebatan sepakan Safawi bukan sekadar satu kebetulan, tetapi manifestasi teknik luar biasa dan keyakinan tinggi pemain itu dalam mengambil sepakan bola m4ti.
Sudut sukar tidak menjadi halangan buatnya, malah dia seolah-olah sudah menjangkakan trajektori bola yang akhirnya memerangkap pertahanan dan penjaga gol lawan.
Jaringan luar biasa itu bukan sahaja menjadi penyelamat pasukan, tetapi juga bakal dikenang sebagai salah satu gol paling menarik musim ini.
Pemain sayap lincah itu terus membuktikan bahawa kemahirannya dalam bola mati berada di kelas tersendiri, mencipta satu lagi momen ajaib dalam kariernya.
Januari lalu bintang Liverpool Trent Alexander Arnold, terpukau dengan teknik sepakan percuma kaki kiri Safawi ketika menentang Negeri Sembilan FC.
sumber : HM
Gol Olimpico merujuk kepada satu jenis jaringan yang dihasilkan dari sepakan penjuru yang terus masuk ke dalam gawang tanpa ada pemain lain yang menyentuh bola.
Istilah ini berasal daripada temasya Olimpik 1924 melalui pemain Argentina, Cesareo Onzari ketika menentang Uruguay.