KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Amatur (AFL) berharap episod pasukan terpaksa beraksi tidak cukup pemain seperti yang berlaku terhadap PIB Shah Alam FC ketika menentang Manjung City FC dalam aksi Liga A1, kelmarin tidak berulang.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium USIM, Nilai itu, PIB Shah Alam memulakan perlawanan dengan sembilan pemain sebelum menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas seorang lagi pemain mereka tiba pada babak kedua.
Ketua Pegawai Operasi AFL, Raimi Fakri Mohd Fuad menjelaskan walaupun perkara itu tidak menjejaskan perjalanan perlawanan, namun ia memberi imej yang tidak baik kepada liga dan pasukan.
“Kami sudah menghubungi pasukan PIB Shah Alam, mereka maklumkan memang ada masalah tetapi tak cerita secara terperinci. Mereka memulakan perlawanan dengan sembilan pemain dan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.
“Kalau ikut FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) minimum (kena ada) tujuh pemain, tapi kalau tujuh pemain itu memang nampak tak bagus, lainlah kalau pemain kena kad merah.
“Kita pesan kepada pasukan, apa sahaja masalah mereka harus selesaikan dalam masa yang cepat supaya perlawanan seterusnya tak jadi lagi perkara ini.
“Namun, mereka beritahu macam mana pun mereka tetap akan habiskan liga, itu yang mereka bagi jaminan kepada kami,” katanya kepada BH Sukan.
Selain itu, Raimi turut mengesahkan bahawa setakat ini AFL belum menerima aduan rasmi daripada mana-mana pemain berhubung isu tunggakan gaji.
Malah beliau mengakui apa yang berlaku terutama membabitkan PIB Shah Alam FC mencetuskan sedikit kebimbangan kepada AFL.
sumber: BH
“Sebab itu kita nak beri peringatan kepada semua pasukan supaya tidak berlaku benda sama. Apa sahaja masalah, selesaikan dengan segera supaya liga berjalan dengan baik dan kebajikan pemain serta pegawai perlu dijaga,” katanya.