Ahli Arkeologi Dilapor Temui Telur Burung Unta Berusia 4,000 Hingga 7,500 Tahun

NEGEV – Ahli arkeologi dilapor berjaya menemui telur burung unta yang dianggarkan berusia 4,000 hingga 7,500 tahun di Negev iaitu berdekatan dengan kawasan padang pasir di selatan Israel.

Memetik laporan Heritage Daily, Penguasa Antikuiti Israel (IAA) menjelaskan bahawa penemuan tersebut dijumpai semasa ahli arkeologi sedang melakukan kerja-kerja pembangunan tanah di ladang Be’er Milka.

Menurut Pengarah Penggalian IAA, Lauren Davis, mereka turut menjumpai sebuah tapak perkhemahan yang telah digunakan oleh kaum nomad sejak zaman prasejarah.

“Kami menjumpai tapak perkhemahan iaitu kira-kira 200 meter persegi (2,153 kaki persegi) yang digunakan oleh kaum nomad di padang pasir sejak zaman prasejarah.

“Di tapak itu kami menjumpai batu yang sudah terbakar, batu api, alat batu serta serpihan tembikar. Namun, apa yang benar-benar istimewa ialah koleksi telur burung unta itu.

“Walaupun kaum nomad tidak membina struktur kekal di tapak berkenaan, penemuan itu membolehkan kami merasai kehadiran mereka di kawasan padang pasir,” katanya.

Kredit: IAA via BBC

Malah, dia turut menambah bahawa tapak perkhemahan itu telah dilitupi oleh beting pasir dengan cepat dan terdedah semula dengan pergerakan pasir selama ratusan dan ribuan tahun.

Pada zaman dahulu, telur burung unta sering dihias dengan sebarang hiasan. Ia juga merupakan barang berharga dalam golongan elit tamadun Mediterranean semasa Zaman Gangsa dan Zaman Besi.

Selain digunakan sebagai barang hiasan, telur burung unta juga digunakan dalam upacara pengebumian, sebagai bekas air dan sumber makanan.

“Kami menjumpai telur burung unta di tapak arkeologi dalam konteks pengebumian dan sebagai barangan mewah. Sememangnya, ia digunakan sebagai sumber makanan. Satu burung unta mempunyai khasiat kira-kira 25 telur ayam biasa,” kata Ahli Arkeologi Kanan Penyelidikan IAA, Amir Gorzalczany.

Kredit: AFP/GIL COHEN-MAGEN via CNN Indonesia

Sementara itu, Pengarah IAA, Eli Escuzido turut berkata pengumpulan telur burung unta dari Be’er Milka adalah penemuan yang jarang ditemui dan dianggap menarik.

“Telur itu terselamat kerana dilitupi beting pasir bagi tempoh yang lama dan disebabkan oleh iklim kawasan yang agak kering.

“Penemuan itu akan terus dihantar ke makmal analisis baharu di Kampus Kebangsaan Jay dan Jeanie Schottenstein untuk Arkeologi Israel di mana mereka akan menjalankan pemerhatian dan penyelidikan dengan lebih lanjut,” jelasnya.

Sumber: Heritage Daily, CNN Indonesia

The post Ahli Arkeologi Dilapor Temui Telur Burung Unta Berusia 4,000 Hingga 7,500 Tahun appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*