KUALA LUMPUR: Air mata penyerang skuad kebangsaan, Faisal Halim tumpah di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Faisal atau lebih mesra disapa Mickey dibawa khas oleh FAM untuk membuat kejutan kepada barisan jurulatih dan pemain Harimau Malaya yang menjalani latihan hari pertama menjelang Pestabola Merdeka 2024, bulan depan.
Mickey mengakui sedih apabila menjejakkan kaki ke wisma FAM dan mengimbas banyak kenangan ketika dia bersama skuad kebangsaan, sebelum ini.
“Sebenarnya saya sedih, sebab saya tak dapat bersama pasukan,” kata Mickey yang dilihat gagal menahan air matanya daripada gugur.
“Saya sudah banyak tahun (bersama Harimau Malaya), inilah tempat saya berjuang untuk pasukan kebangsaan dengan rakan-rakan dan jurulatih. Tapi hari ini saya datang sebagai tetamu melihat rakan berlatih.
“Saya berasa tak lama lagi saya akan kembali, Insya-Allah. Saya harap semua dapat doakan dan saya tak sabar untuk kembali.
“Saya datang hari ini selepas Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) hubungi saya semalam bagi memberikan semangat kepada rakan sepasukan dan saya pun rindu saat ini.”
sumber: BH
Mickey sebelum ini menjadi antara pemain harapan dan watak penting buat Harimau Malaya dalam mencipta keputusan positif bagi aksi di peringkat antarabangsa.
Namun, malang menimpa Mickey apabila dia terpaksa berehat panjang dan memerlukan masa untuk kembali kepada prestasi terbaik selepas menjadi mangsa simbah asid, Mei lalu.