Ambil Iktibar Kes Guru Tidak Hadir Mengajar Disaman Pelajar – Hajiji

Guru Tidak Hadir Mengajar Disaman Pelajar

Ambil Iktibar Kes Guru Tidak Hadir Mengajar Disaman Pelajar – Hajiji

KOTA KINABALU, 1 Ogos (Bernama) — Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan semua guru di Sabah, supaya mengambil iktibar daripada kes seorang guru di sebuah sekolah di Kota Belud yang disaman pelajar sendiri, kerana tidak hadir mengajar.

Beliau yang jelas kecewa dengan kejadian berkenaan berkata kes seumpama itu, diharap tidak berulang pada masa akan datang, demi memastikan setiap pelajar di negeri itu mendapat pendidikan berkualiti daripada semua guru.

“Apa yang penting ialah memberi ilmu pengetahuan dan pembelajaran kepada anak-anak di sekolah, kerana pendidikan amat penting. Kita tidak mahu mereka ketinggalan dan rugi dalam pembelajaran di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 di sini, hari ini.

Pada Julai lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan tiga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud, dibayar pampasan masing-masing RM50,000 atas kegagalan guru Bahasa Inggeris hadir ke kelas selama tujuh bulan pada 2017.

Dalam perkembangan lain, Hajiji ketika berucap pada majlis itu mahu Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, mengenal pasti punca ramai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dari Sabah, tidak hadir menduduki peperiksaan itu tahun lalu.

Hajiji berkata berdasarkan laporan, hanya seramai 34,461 pelajar daripada 40,147 yang mendaftar sebagai calon SPM di Sabah, menduduki peperiksaan berkenaan.

“Saya memberi perhatian serius terhadap isu ini di Sabah, kerana SPM ialah peperiksaan penting untuk masa depan anak-anak kita, atau sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah Raisin Saidin berkata pelajar berhenti sekolah dan berdepan masalah disiplin, menjadi antara faktor penyumbang kepada ketidakhadiran calon untuk menduduki peperiksaan SPM itu tahun lalu.

“Selain itu, ada pelajar sendiri yang memilih untuk tidak menghadiri peperiksaan berkenaan,” katanya kepada pemberita dan menambah, akan mengambil langkah proaktif mengatasi masalah ketidakhadiran pelajar SPM pada peperiksaan tahun ini.

BACA: Rumah 3 Bilik Tidur & 2 Bilik Air, Ada Enam Rekaan Boleh Pilih, Cara Mohon Rumah Mesra Rakyat

Sumber: Bernama

The post Ambil Iktibar Kes Guru Tidak Hadir Mengajar Disaman Pelajar – Hajiji appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*