Belajar Sambil Bekerja Sebagai Tukang Gunting Rambut Tak Halang Cemerlang STPM

belajar sambil bekerja stpm

Belajar Sambil Bekerja Sebagai Tukang Gunting Rambut Tak Halang Cemerlang STPM

MELAKA, 13 Julai (Bernama) — Walaupun terpaksa membahagikan masa antara kerja sambilan sebagai tukang gunting rambut dan meneruskan pengajian di Tingkatan Enam, Amar Afandi Mohd Zin bersyukur kerana penat lelahnya berhasil apabila memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Amar Afandi, 20, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah yang memperoleh keputusan PNGK 4.0 berkata beliau membuat kerja sambilan bagi meringankan beban ibunya Rasidah Atan, 60, yang merupakan ibu tunggal selain mengumpul wang sebagai persediaan menyambung pelajaran di peringkat universiti.

Pelajar aliran sains sosial yang mengambil empat subjek itu berkata selepas sesi persekolahan kira-kira pukul 3 petang, dia akan terus ke tempat kerjanya di Jasin dan memastikan pulang selewat-lewatnya pukul 9 malam, untuk menyiapkan tugasan dan mengulang kaji pelajaran.

Baca: “Terus Capai Red & Black,” Wan Chai Cuak Kena Ganggu Ketika Live, Tiba-Tiba Semua Member Lesap Diganggu ‘Makhluk Halus’?

“Saya mengambil keputusan untuk bekerja sambil menyambung belajar di Tingkatan Enam pada semester tiga dan memang tidak dinafikan agak sukar pada mulanya untuk membuat dua perkara dalam satu masa, terutama membahagikan masa belajar dan bekerja.

“Selain bekerja di kedai gunting rambut selepas habis sesi persekolahan, saya juga mengambil upah gunting rambut dari rumah ke rumah dan dua bulan sebelum peperiksaan, saya bercuti untuk memberi fokus sepenuhnya pada pelajaran. Alhamdulillah saya dapat harungi tempoh sukar ini dengan baik,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Pengumuman Keputusan STPM 2022 Negeri Melaka oleh Pengarah Pendidikan negeri Mohd Ghazali dan turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Amar Afandi yang merupakan anak bongsu daripada lima adik-beradik itu berkata hasil pendapatan sebanyak RM1,100 sebulan, yang diperoleh sebagai tukang gunting rambut akan digunakan sebaik mungkin untuk menampung kos pengajian dan perbelanjaan, sekiranya cita-cita menyambung pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Perak tercapai.

Beliau yang bercita-cita menjadi guru sejarah berkata kejayaan cemerlang dalam STPM bukan sahaja merupakan usahanya seorang, namun ia juga hasil bimbingan, bantuan dan doa guru, ibu, rakan-rakan serta ahli keluarga yang lain.

Sementara itu, pelajar cemerlang STPM peringkat kebangsaan Gee Wei Nee, 20, berkata beliau tidak menyangka terpilih antara 20 pelajar terbaik STPM seluruh negara, sebaliknya hanya berharap dapat lulus dengan cemerlang.

Bekas pelajar Tingkatan Enam Kolej Tun Fatimah berkata beliau berdepan dengan tekanan belajar sepanjang semester pertama, kerana belum dapat menyesuaikan diri dengan pembelajaran Tingkatan Enam yang lebih mencabar berbanding ketika menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) sebelum ini.

“Tingkat enam bukan tempoh untuk berbulan madu… tidak boleh main-main dan belajar pada saat akhir kerana setiap subjek STPM lebih terperinci. Macam saya yang suka menangguh kerja, memang sangat stres.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dapat sesuaikan diri dengan pembelajaran Tingkatan Enam pada semester kedua, dan mula berdisiplin serta mengulang kaji pelajaran secara lebih konsisten,” katanya yang mengambil lima subjek dalam aliran sains tulen dan memperoleh PNGK 4.

Beliau yang minat menjalankan kajian di makmal, bercita-cita menyambung pelajaran dalam bidang bioteknologi di luar negara, namun berharap dapat bekerja dalam industri berkenaan di Malaysia dan mengembangkan bidang berkenaan secara lebih meluas.

Seorang lain pelajar cemerlang STPM Melaka Khoo Ann Xuan, 20, berkata sepanjang menyambung pelajaran di Tingkatan Enam, dia tidak mendapat tidur yang mencukupi kerana perlu meluangkan lebih masa belajar, terutama melibatkan subjek sejarah yang memerlukannya menghafal fakta.

“Belajar Tingkatan Enam memang sangat sukar dan saya mulanya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi tetapi gembira dapat juga keputusan cemerlang dan pelajar terbaik STPM negeri Melaka,” kata pelajar aliran sains sosial dari SMK Sultan Alauddin yang memperoleh PNGK 4 bagi keseluruhan empat subjek pada peperiksaan tersebut.

Sumber: BERNAMA

The post Belajar Sambil Bekerja Sebagai Tukang Gunting Rambut Tak Halang Cemerlang STPM appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*