Berisiko Sebabkan Kanser & Ganggu Kesuburan, Ini 10 Buah Paling Banyak ‘Sisa’ Racun Serangga

Berisiko Sebabkan Kanser & Ganggu Kesuburan, Ini 10 Buah Paling Banyak ‘Sisa’ Racun Serangga

“Nak kulit cantik, kena la makan buah.”
“Banyakkan makan betik, tembikai, timun dan mangga.”
“Nak badan sihat, jangan tinggal buah dan sayur setiap hari.”

Ini adalah ayat kebiasaan kita dengar daripada kecil hinggalah dewasa. Buah dan sayuran sebahagian daripada diet penting untuk kesihatan. Dengan adanya teknologi pertanian masa kini, kita dapat menikmati pelbagai jenis buah-buahan dari seluruh pelosok dunia.

Walau bagaimanapun, apakah jaminan buah dan sayuran yang kita makan adalah selamat serta bebas daripada racun serangga? Laporan dari CNBC mendakwa 90 peratus daripada sampel buah strawberi, epal, ceri, bayam dan anggur di pasaran Amerika Syarikat (AS) mempunyai sisa dua atau lebih racun serangga. Ini adalah berdasarkan kepada hasil analisa data ke atas 46,000 sampel daripada 46 jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang dikeluarkan oleh US Department of Agriculture & Food and Drug Administration (FDA).

Berikut adalah antara 10 jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang paling banyak dikesan mempunyai sisa racun serangga di pasaran AS:

  1. Strawberi
  2. Bayam
  3. Kale
  4. Pic
  5. Pear
  6. Nektarin
  7. Epal
  8. Anggur
  9. Cili/Lada benggala
  10. Ceri

Walaupun senarai ini melibatkan pasaran di AS, namun kita harus berwaspada kerana negara kita masih mempunyai kebergantungan terhadap produk import dari luar negara.

Racun serangga boleh sebabkan kanser, ganggu kesuburan

Gambar hiasan. (Kredit: Freepik)

Menurut United States Environmental Protection Agency (EPA), racun serangga boleh memberi kesan berbeza kepada pengguna, bergantung kepada jenis racun yang digunakan.

Ada jenis racun yang bersifat karsinogenik yang boleh menyebabkan kanser manakala sebahagian racun boleh menyebabkan iritasi kepada manusia.

Menurut kajian dikeluarkan oleh National Library of Medicine, racun serangga boleh menjejaskan kesuburan dan mencacatkan sperma lelaki. Ia boleh mengganggu struktur DNA sperma sekaligus mendorong kepada masalah mutasi gen yang boleh menyebabkan kecacatan kepada anak atau kemandulan lelaki.

Racun serangga yang mengandungi organophosphates dan carbamates dikatakan boleh mengganggu sistem saraf dan hormon di dalam badan. Kalau korang nak tahu, racun jenis ini juga turut digunakan di ladang tempatan.

Macam mana nak tahu buah yang dimakan adalah selamat, tanpa pestisid?

Sebelum ni Siakap Keli pernah kongsikan cara nak tahu sesuatu buah atau sayuran terdedah kepada racun atau tidak melalui stiker nombor pada produk.
Kalau korang nak tahu, buah-buahan dan sayuran yang dijual di pasaraya atau eksport perlu memaparkan price look-up codes atau turut dikenali sebagai kod PLU.

Kod ini mempunyai empat atau lima angka yang menentukan jenis buah, saiz dan cara penanaman sama ada melibatkan teknik konvensional atau organik. Jadi, menerusi kod ini korang boleh tahu sama ada ia terdedah kepada racun serangga semasa penanaman ataupun tidak.

Contohnya, buah organik mempunyai lima digit bermula dengan angka 9 manakala buah konvensional mempunyai kod empat digit bermula dengan angka 3 atau 4.

Buah melalui kaedah penanaman konvensional terdedah kepada racun serangga yang dibenarkan semasa proses penanaman dan perlu dibasuh sebelum di makan.

Sebagai contoh, pisang konvensional mungkin mempunyai kod PLU #4011, manakala pisang spesis sama yang ditanam secara organik boleh dikenalpasti dengan kod #94011.

Pun begitu, sekarang kita boleh mencari buah atau sayuran organik dengan lebih mudah dengan adanya label myOrganic yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

Selain daripada pelekat myOrganic, kita juga boleh memilih produk yang ada pelekat myGAP pada buah-buahan sebagai jaminan kepada hasil pertanian yang selamat di makan.

Untuk makluman, myGAP merupakan Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia, yang mengiktiraf ladang petani yang mengeluarkan buah-buahan dan sayuran yang selamat.

Buah-buahan atau sayuran yang mempunyai stiker myGAP ini telah dihantar ke makmal dan disahkan selamat sebelum dihantar ke pasaran. Bagi melayakkan produk tanaman dipersijilkan myGAP, para petani perlu memastikan tanaman mereka bebas daripada penggunaan racun haram.

Jadi, kalau korang nak cari pengganti produk organik, korang bolehlah cari produk yang ada logo myGAP ini, pastinya ia dijamin selamat di makan dan berkualiti tinggi. Pada masa yang sama, korang juga boleh menyokong produk usahawan tani tempatan sekaligus mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk import.

Untuk maklumat lanjut tentang myGAP atau teknik tanaman, ikuti laman media sosial myGAP di sini.

Sumber: CNBC, EPA, TastingTable.com

The post Berisiko Sebabkan Kanser & Ganggu Kesuburan, Ini 10 Buah Paling Banyak ‘Sisa’ Racun Serangga appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*