berpeluang untuk mencipta rekod tersendiri

KUALA LUMPUR: Gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP), Anugerah Bolasepak Kebangsaan dijangka terus kekal menjadi milik pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi buat kali keempat berturut-turut.

Ini kerana bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar mengakui tiada pemain tempatan lain yang mampu menggugat ‘takhta’ pemain sayap Harimau Malaya itu sekali gus menyaksikan dia berpeluang untuk mencipta rekod tersendiri.

Tegas bekas pembantu jurulatih T-Team itu, Arif Aiman sentiasa menunjukkan peningkatan dan kematangan dalam persembahannya sekali gus membuktikan betapa dia tidak berada pada zon selesa sekalipun mendapat pengiktiratan MVP untuk tiga kali berturut-turut sebelum ini.

“Nampaknya memang anugerah MVP akan jadi milik Arif Aiman sekali lagi kerana kita tengok dia sentiasa meningkatkan persembahannya. Nilai pemain yang bagus ini bukan sahaja di atas padang tetapi di luar padang.

“Dia ada semangat kesukanan yang tinggi dan mentaliti untuk berikan 100 peratus demi mendapatkan kejayaan. Kematangannya mengalahkan usiannya dan dia sendiri yang menjulang dirinya sehingga ke tahap ini.

“Saya lihat sukar untuk calon lain memberi cabaran kepada Arif Aiman. Buat masa ini, tiada lagi pemain tempatan yang menyerlah seperti Arif Aiman dan tahap yang ditunjukkan mereka pun belum sampai seperti apa yang sudah dibuktikan oleh Arif Aiman.

“Walaupun sudah memenangi MVP tiga kali pun, kita tengok dia sentiasa berusaha untuk menjadi yang lebih baik dan tidak terbuai dengan apa yang dia ada. Saiz songkoknya masih sama,” katanya.

Sebagai rekod, Arif Aiman mula dinobatkan sebagai MVP ABK seawal usia 19 tahun pada ABK21 dan kemudiannya berjaya mempertahankan gelaran itu pada ABK22 dan ABK2023.

Arif Aiman yang juga Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super edisi lalu itu tersenarai dalam kalangan 10 pemain tengah terbaik bagi edisi kali ini.

Dalam masa sama, Azlan turut mengharapkan Arif Aiman akan meneruskan usaha kerasnya dalam menggapai impiannya menjadi pemain yang lebih baik sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai aset bola sepak negara.

sumber: BH

“Sebagai bekas pemain dan bekas jurulatih, apa yang boleh saya nasihatkan adalah supaya dia teruskan apa yang dia buat dan jangan mudah terpengaruh dengan perkara yang tidak baik.