Boleh cium kaki ulama soleh, tetapi elak jika cetus fitnah

PUTRAJAYA- Umat Islam di negara ini sebenarnya tiada halangan untuk mencium kaki ulama yang soleh kerana hukumnya itu adalah harus menurut pandangan ramai ulama.

Demikian jawapan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP), menerusi hantaran terkini dalam slot Al-Kafi disiarkan hari ini di laman sesawang rasmi agensi berkenaan.

“Ia dilakukan dengan syarat bahawa perbuatan itu sebagai tanda penghormatan kerana akhlaknya yang terpuji, atau ilmunya tinggi atau keperibadiannya adalah mulia.

“Perlakuan tersebut kelazimannya dibuat untuk mengambil keberkatan ulama itu dan diharuskan kerana ada hadis diriwayatkan al-Wazi ibn Zari’ yang menceritakannya.

“Katanya, ketika tiba di Madinah, kami semua berlumba-lumba turun daripada haiwan tunggangan sebelum mencium tangan dan kaki Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Mengulas lanjut, PMWP berpandangan, jika perbuatan itu dilakukan kerana unsur keduniaan seperti kekayaan atau kedudukan pada mata manusia, maka ia ditegah keras.

“Walau bagaimanapun, ia juga perlu dilihat pula daripada sudut uruf atau adat setempat di negara ini yang sebenarnya adalah agak jarang dengan budaya berkenaan.

“Imam al-Nawawi ketika merujuk hadis itu ada berkata, ia dibuat kerana kezuhudan dan apa-apa berkaitan urusan keagamaan yang tidak pun ditegah bahkan digalakkan,” katanya.

PMWP menambah, berdasarkan pencerahan itu, maka jelas hukum cium tangan, kaki malahan kepala ulama yang soleh adalah diharuskan menurut pandangan ramai agamawan.

Meskipun begitu, sekiranya diambil kira suasana uruf di Malaysia yang mungkin janggal dengan budaya ini dan mendorong fitnah, maka sebaiknya elok perlakuan itu dielakkan. – KOSMO! ONLINE

The post Boleh cium kaki ulama soleh, tetapi elak jika cetus fitnah appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*