Bot Karam Di Itali: Lebih 100 Orang Dikhuatiri Meninggal Dunia

bot karam di itali

Bot Karam Di Itali: Lebih 100 Orang Dikhuatiri Meninggal Dunia

ROME — Lebih 100 orang termasuk kanak-kanak dikhuatiri meninggal dunia dalam satu kejadian bot karam di Calabria di wilayah Selatan Itali semalam.

Memetik BBC, sekurang-kurangnya 62 orang telah disahkan terkorban termasuk 12 kanak-kanak dan seorang bayi. Difahamkan, bot yang dipercayai membawa kira-kira 200 orang itu karam sewaktu cuba mendarat berhampiran pantai Cotone.

Kesemua mangsa yang berada di atas pengangkutan air itu dipercayai berasal dari negara Afghanistan, Pakistan, Somalia, Syria, Iraq dan Iran

Kapal berkenaan telah berlepas dari Turkiye sejak beberapa hari lepas sebelum dilaporkan karam akibat terlanggar batu sewaktu cuaca buruk.

Menurut pengawal pantai, 80 orang disahkan masih hidup termasuk beberapa yang berjaya sampai ke pantai selepas kejadian itu. Pihak itu percaya masih ramai yang belum ditemui.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang terselamat telah ditangkap oleh pihak polis selepas terlibat dalam pemerdagangan pendatang asing.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan puluhan daripada mangsa terlibat dipercayai warganegara Pakistan. Mereka dipercayai maut dalam insiden berkenaan.

Tambahan lagi, sewaktu misi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, kebanyakan mangsa dilaporkan trauma berikutan kehilangan orang tersayang.

BACA JUGA: 43 Orang Termasuk Bayi Maut Dalam Kejadian Bot Karam 

Menurut Badan Amal Médecins Sans Frontières (MSF), Sergio Di Dato, sebahagian mereka kehilangan ahli keluarga tercinta.

“Mereka sangat trauma. Sesetengah kanak-kanak telah kehilangan seluruh ahli keluarga mereka. Jadi, kami cuba menawarkan sokongan semampu yang boleh,” katanya.

Salah seorang dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) SOS Méditerranée, Francesco Creazzo berkata kawasan berhampiran itu sering kali menyaksikan tragedi seumpama bot karam itu.

“Ia seperti satu kawasan perkuburan beramai-ramai dengan puluhan nyawa telah ditelan di dalamnya,” jelasnya sewaktu misi menyelamat di tengah Mediterranean.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sewaktu berucap dalam satu Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva menyeru negara-negara untuk bekerjasama membantu pelarian dan pendatang.

Ia bagi menyediakan laluan perjalanan yang lebih selamat dan mengukukan operasi menyelamat terhadap golongan berkenaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni sebaliknya berikrar untuk membendung kemasukan pendatang ke negaranya susulan kejadian itu.

Tambah Meloni, perkara itu didorong oleh aktiviti sindiket pemerdagangan manusia.

“Ia tidak berperikemanusian melibatkan nyawa orang awam termasuk kanak-kanak demi ‘tiket’ yang dianggap selamat. Namun ia sebenarnya tidak.

Oleh itu, kerajaan komited untuk mencegah perkara ini daripada terus berlaku,” maklumnya.

Tambahan lagi, undang-undang baharu negara berkenaan turut menolak keras misi menyelamat terhadap golongan itu.

Untuk makluman, lebih 20,000 orang telah terkorban atau hilang di laut di tengah Mediterranean sejak 2014.

Sumber: BBC News

The post Bot Karam Di Itali: Lebih 100 Orang Dikhuatiri Meninggal Dunia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*