ALOR SETAR: UMNO Kedah menggesa Muhammad Radhi Mat Din meletak jawatannya selaku Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kerana gagal menyelesaikan krisis kewangan yang dialami pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata perkara sama juga perlu dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron kerana kedua-duanya dilihat gagal menasihati Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Jelasnya, langkah itu bagi memberi ruang seluasnya kepada pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar melaksanakan proses penstrukturan yang sesuai bagi syarikat menyelesaikan kemelut berkenaan.
“Saya juga berpandangan bahawa kedua-dua individu ini adalah diibaratkan sebagai nasi tambah dan sama sekali tidak mempunyai nilai pada syarikat dan pasukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan, Muhammad Radhi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri, menyangkal dakwaan kononnya kerajaan negeri mengambil sikap lepas tangan dan tidak membantu KDA FC yang menghadapi masalah kewangan sehingga mencetuskan isu tunggakan gaji.
Beliau menjelaskan keberadaannya selaku antara pemilik saham pasukan KDA FC sebenarnya berlaku pada peringkat awal penubuhan kelab itu.
Shaiful Hazizy berkata, kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Radhi sebelum ini adalah dangkal dan tidak boleh diterima terutama penyokong Hijau Kuning dan rakyat negeri ini sama sekali.
Katanya, kenyataan itu dilihat seumpama ingin melepas tangan dan lari dari tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan beliau yang memegang portfolio sukan negeri.
“Saya berpandangan bahawa Radhi sebagai lagenda bola sepak Hijau Kuning yang kini sudah menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran, dapat menggunakan pengalaman beliau untuk menasihati Presiden KFA supaya segera campur tangan bagi menangani permasalahan ini.
sumber: BH
“Kesimpulannya, saya suka menyatakan bahawa Radhi lupa asal usul dan pada masa sama mengkhianati semangat Hijau Kuning yang beliau sendiri berjuang sedikit masa dahulu,” katanya.