Faisal ‘terlepas’

KUALA LUMPUR: Dua pemain skuad bawah 19 tahun (B-19) mendapat peluang keemasan apabila dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi aksi persahabatan menentang New Zealand pada 14 Oktober ini.

Dua pemain terbabit baru sahaja kembali daripada Kelayakan Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20) 2025 iaitu penjaga gol, Haziq Aiman Mohd Esa (JDT II) dan Haykal Danish Mohd Haizon (Selangor FC B-23) yang membantu skuad B-19 menamatkan pusingan kelayakan di tangga keempat Kumpulan E.

Selain dua pemain skuad B-19 itu, pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente turut memanggil seorang lagi muka baharu iaitu penjaga gol Selangor FC (SFC), Azim Al Amin Kamaruddin selain pemain tengah Sabah FC, Stuart Wilkins yang tidak bersama pasukan ketika Pestabola Merdeka 2024.

Bagaimanapun, penyokong tampaknya masih perlu menunggu untuk menyaksikan kelibat pemain sayap SFC, Faisal Halim selepas pemain itu tidak berada dalam senarai panggilan kali ini apabila diketepikan sama seperti pada Pestabola Merdeka sebelum ini.

Vicente sebelum ini sudahpun menyatakan pemain berusia 26 tahun itu belum berada dalam keadaan yang terbaik untuk dipanggil dengan pemain itu perlu fokus untuk menjalani proses pemulihan dan mendapatkan kembali prestasi terbaiknya.

Secara keseluruhan, Vicente mengekalkan 23 pemain daripada 26 pemain daripada skuad yang menjuarai Pestabola Merdeka 2024 selepas menundukkan Lubnan 1-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, 8 September lalu.

Dua pemain berpangkalan di luar negara masing-masing Dion Cools (Buriram United) dan Endrick dos Santos (Ho Chi Minh City FC) turut dipanggil untuk memperkuat barisan pemain kali ini.

Skuad kebangsaan akan berlepas terus ke Auckland pada 6 Oktober untuk menjalani kem latihan pusat di sana selama seminggu bagi menghadapi perlawanan menentang New Zealand di Stadium North Harbour.

sumber: BH

Sebagai rekod, ini peluang terbaik untuk skuad negara meraih mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memandangkan wakil dari Oceania itu menghuni ranking ke-95 dunia ketika ini.