Gempa Bumi Turkiye, Syria: Bayi Tujuh Bulan Terperangkap 140 Jam Diselamatkan

gempa bumi turkiye

Gempa Bumi Turkiye, Syria: Bayi Tujuh Bulan & Remaja Berjaya Diselamatkan, Angka Kematian Melonjak 28,000 Orang

KAHRAMANMARAS — Selepas hampir seminggu gempa bumi kuat melanda Turkiye, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan bayi  dan seorang remaja perempuan selepas terperangkap dalam runtuhan sejak Isnin lalu, lapor AFP.

Menurut media tempatan, bayi terbabit berusia tujuh bulan berjaya diselamatkan di selatan Hatau manakala remaja berusia 13 tahun pula di Gaziantep.

Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan daripada runtuhan bangunan selepas terperangkap lebih 140 jam.

Selain itu, ahli keluarga lain juga dilihat berlumba-lumba mencari mayat saudara-mara yang hilang di selatan Turkiye itu.

gempa bumi turkiye
Gambar: BULENT KILIC / AFP

Salah seorang saksi, Tuba Yolcu di Kahramanmaras berkata mayat akan segera dikebumikan selepas ditemui.

“Kami mendengar pihak berkuasa tidak akan membiarkan mayat menunggu lama dalam tempoh waktu yang tertentu. Mereka akan segera mengambil dan mengebumikannya.” katanya.

Gambar: OZAN KOSE / AFP

Sehubungan itu, ribuan pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus menjalankan operasi menyelamat walaupun berdepan dengan cuaca sejuk.

Bagaimanapun, misi itu dibantutkan dengan segelintir orang yang mengambil kesempatan untuk merompak atau menipu mangsa gempa di sekitar lokasi bencana.

Susulan itu, beberapa penangkapan telah dilakukan, lapor media tempatan.

Tambahan lagi, timbul isu berhubung kualiti struktur bangunan dan respon balas kerajaan terhadap negara itu selepas bencana yang berlaku.

BACA JUGA: Suasana Di Turkiye Kini Tak Ubah Seperti Di Medan Perang

Sehingga kini, angka kematian akibat gempa bumi itu telah melonjak kepada 28,000 korban.

Menurut laporan pihak berkuasa dan pegawai perubatan, seramai 24,617 orang telah meninggal dunia di Turkiye. Manakala 3,574 orang terkorban di Syria.

Jumlah tersebut menjadikan angka kematian yang sah direkodkan adalah 28,191 orang.

gempa bumi turkiye
Gambar: AFP

Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths berkata, beliau menjangkakan jumlah kematian itu sekurang-kurangnya dua kali ganda sewaktu tiba di Selatan Turki semalam.

Terdahulu, gempa bumi berukuran 7.8 magnitud telah melanda negara berkenaan di berhampiran Gaziantep. Gempa tersebut turut menjejaskan negara jiran, Syria.

Difahamkan, ia berlaku pada jam 4.17 pagi waktu tempatan sebelum gempa susulan direkodkan. Ia juga dapat dirasakan sehingga ke kepulauan Cyprus dan Mesir.

Sumber: AFP 

The post Gempa Bumi Turkiye, Syria: Bayi Tujuh Bulan Terperangkap 140 Jam Diselamatkan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*