Kuala Terengganu: Penyerang Selangor FC, Ronnie Fernandez hanya memerlukan 27 saat untuk mencipta gol terpantas dalam saingan Liga Super musim ini.
Jaringan berkenaan terhasil ketika skuad The Red Giants kendalian Mohd Nidzam Jamil itu berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada malam ini.
Terdahulu Fernandez yang mendapat umpanan daripada Alvin Fortes tidak melepaskan peluang dengan melakukan rembatan deras dalam kotak penalti sekali gus memperdaya penjaga gol, Suhaimi Husin untuk pasukannya mendahului 1-0.
Gol sensasi itu sekali gus berjaya memadam rekod gol terpantas 33 saat sebelum ini milik penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad dalam saingan Liga Super ketika berdepan PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 11 Mei lalu.
Kekalahan itu juga menyaksikan rekod tanpa kalah TFC di laman sendiri dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini lebur.
Pada perlawanan itu, skuad TFC kendalian Tomislav Steinbruckner dilihat gagal memperagakan aksi sebenar selepas gagal memecah benteng pasukan pelawat yang diketuai kapten, Safuwan Baharudin.
Sepanjang babak pertama, hanya sekali sahaja peluang terbaik buat tuan rumah untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi pemain import, Manuel Ott selepas dia bijak melepasi dua pertahanan lawan, namun rembatannya melepasi palang gol.
Pada babak kedua, TFC memasukkan dua tenaga baharu, Ismaheel Akinade dan Akram Mahinan bagi menggantikan Marin Pilj dan Nurillo Tukhtasinov, namun masih gagal memecah kebuntuan gol.
Sebaliknya pemain gantian pasukan pelawat, Quentin Cheng hampir menambah jaringan kedua pasukannya pada minit ke-68, namun tiang gol menjadi ‘penyelamat’ buat TFC.
sumber: HM
Pada minit ke-79, TFC menerusi Akinade sekali lagi berpeluang untuk menyamakan kedudukan, namun tandukannya hasil sepakan sudut kapten, Safawi Rasid hanya sedikit tersasar.