Harimau Muda buat Oman terkedu

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara membuka kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20) 2025 langkah kanan apabila menumbangkan Oman 2-1 pada aksi pertama Kumpulan E di Stadium Republican Central, Dushanbe, sebentar tadi.

Kemenangan penting ke atas pasukan yang dianggap sebagai pilihan dalam Kumpulan E itu pasti memberi motivasi terbaik untuk anak buah Juan Torres Garrido bagi menghadapi aksi kedua berdepan Korea Utara, Isnin ini.

Tiga mata itu amat berharga buat skuad negara memandangkan hanya juara kumpulan serta lima naib juara terbaik akan mengesahkan slot ke pusingan akhir di China, tahun depan.

Pada aksi terbabit, peluang terbaik Oman hadir pada minit kesembilan menerusi Muhand Al-Saadi namun tampanannya yang cuba menyambut percubaan Fahad Al-Mukhaini tidak menepati sasaran.

Gerakan menarik Mohamad Haykal Danish Mohd Haizon pada minit ke-16 nyaris membuahkan hasil, hanya tiang yang menjadi penghalang buat skuad negara daripada membuka jaringan pada aksi terbabit.

Skuad negara bagaimanapun membuka jaringan pada minit ke-30 selepas Moses Raj menampan sepakan percuma Haykal Danish dan menewaskan penjaga gol Oman, Abdullah Al Jabri untuk kedudukan 1-0 buat Malaysia.

Kesilapan pertahanan Malaysia dimanfaatkan Oman selepas bola dirampas Faisal Al-Hadidi namun percubaan pemain gantian itu diselamatkan penjaga gawang negara, Haziq Aiman pada minit ke-57.

Malaysia yang sesekali mengasak dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-63 selepas Haykal Danish dijatuhkan dan Haykal tenang menyudahkan sepakan penalti dengan gaya ‘panenka’ untuk melebarkan kedudukan buat skuad negara.

sumber: BH

Oman mengurangkan defisit pada minit ke-87 apabila Majid Al-Farsi menyempurnakan sepakan penalti namun kedudukan 2-1 berpihak kepada Malaysia kekal sehingga tamat perlawanan.