Ibu, Rakan Ditahan Disyaki Dera Kanak-Kanak Lelaki Tujuh Tahun

dera kanak-kanak lelaki tujuh tahun

Ibu, Rakan Ditahan Disyaki Dera Kanak-Kanak Lelaki Tujuh Tahun

JOHOR BAHRU, 12 Ogos (Bernama) — Seorang ibu dan rakan perempuannya ditahan, kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, di sebuah rumah di Bandar Layang Kasa, Pasir Gudang di sini, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata ibu kandung mangsa yang juga ibu tunggal berusia 27 tahun, manakala rakannya seorang warga asing berusia 30 tahun, ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam pada 12.30 tengah malam (12 Ogos).

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam, pada 12.02 tengah malam (12 Ogos).

“Pihak polis turut merampas dua batang rotan. Mangsa pula telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini bagi rawatan lanjut.

“Ibu mangsa merupakan suri rumah, manakala rakannya pula juruteknik di sebuah kilang. Kedua-dua tangkapan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

BACA: Ramai Lega, Masalah Lif PPR Selesai Selepas Tindakan Ini, Siap Nak Bagi Internet Percuma

Kamarul Zaman berkata mangsa juga mempunyai adik beradik yang lain, manakala rakan ibunya itu tinggal bersama di rumah tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenai status warga rakan ibu mangsa berkenaan.

Beliau berkata berkata ibu kanak-kanak itu ditahan reman selama enam hari mulai hari ini hingga Khamis, manakala rakannya ditahan reman tujuh hari mulai hari ini hingga Jumaat bagi membantu sisatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Polis Johor turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat hingga mangsa berjaya diselamatkan.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan orang awam menyerbu sebuah rumah, dipercayai bagi menyelamatkan kanak-kanak yang disyaki didera oleh ibu kandung dan seorang rakannya.

Sementara itu, isteri Tunku Mahkota Johor Che Puan Besar Khaleeda Bustamam menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak termasuk pihak polis, exco, kakitangan HSI yang mengambil tindakan pantas, serta kesemua jiran kanak-kanak berkenaan yang prihatin dan sudi berusaha melindungi kanak-kanak tersebut.

“Tindakan mereka membuktikan betapa pentingnya komuniti setempat bersatu menjaga kesejahteraan dan keselamatan golongan kanak-kanak di negara ini. Insiden itu bagaimanapun mengingatkan kita bahawa kes penderaan kanak-kanak masih lagi menjadi isu yang memerlukan perhatian serius oleh semua pihak,” titah baginda dalam satu hantaran di Facebook rasmi, di sini.

Justeru, Che Puan Besar Khaleeda menggesa agar kesedaran tentang penderaan kanak-kanak dipertingkatkan melalui usaha berterusan daripada semua pihak kerana setiap bantuan kecil yang dihulurkan akan memberikan impak besar dalam melindungi hak serta masa depan kanak-kanak.

Sumber: BERNAMA

The post Ibu, Rakan Ditahan Disyaki Dera Kanak-Kanak Lelaki Tujuh Tahun appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*