Inisiatif Menu Rahmah Tarik Minat Sektor Lain

menu rahmah sektor lain

Inisiatif Menu Rahmah Tarik Minat Sektor Lain

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) — Inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 dan ke bawah turut menarik minat sektor lain termasuk perubatan untuk menyediakan harga murah kepada golongan memerlukan terutama B40.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata terdapat dalam kalangan doktor perubatan yang mempunyai klinik persendirian berhasrat menyediakan Klinik Rahmah menawarkan pakej keluarga bagi golongan B40 dengan harga berpatutan.

“Bagi menjalankan idea ini, pihak kami perlu adakan kolaborasi bersama Kementerian Kesihatan (KKM) untuk berbincang dan menjayakan (Klinik Rahmah) sekiranya benar ada doktor ingin klinik mereka memberi Perubatan Rahmah,” katanya selepas menjadi tetamu Program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga mengadakan pertemuan dengan beberapa pengusaha restoran makanan segera susulan permintaan keluarga yang ingin menyantuni anak mereka dengan makanan itu.

“Kami adakan libat urus dengan beberapa restoran seperti McDonald’s dan Burger King yang boleh katakan hasil pertemuan itu adalah positif, mungkin akan ada Burger Rahmah bernilai RM5 tetapi burger itu memang burger yang mereka (restoran makanan segera) jual dengan harga pasaran hari ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata inisiatif tersebut yang bermula dengan hidangan nasi, lauk dan sayur kini diperluaskan dengan bahan makanan lain seperti mi, menu panas seperti ‘Chicken Chop Rahmah’ dan terdapat peniaga yang memperkenalkan Durian Rahmah.

Ditanya mengenai kos dan bekalan barang mentah, Salahuddin berkata bekalan ayam dijangka mencukupi selepas berakhir musim tengkujuh kerana tiada kekangan daripada pembekal manakala bekalan telur ayam akan pulih sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

“Sekarang ini untuk mengatasi itu (bekalan telur ayam), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah import telur ayam dari India untuk mengatasi isu permintaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas daripada majoriti peniaga yang menyediakan Menu Rahmah, walaupun menyediakan makanan dengan harga murah, mereka masih memperoleh keuntungan.

Pada 31 Jan lepas, inisiatif Menu Rahmah dilancarkan dan sebanyak 15,000 premis menjual makanan turut serta melaksanakan usaha berkenaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

BACA: Ini Antara Lokasi Kedai Menu Rahmah Di Seluruh Negara

Sumber: Bernama

The post Inisiatif Menu Rahmah Tarik Minat Sektor Lain appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*