Isu Pendidikan, Sekuriti Makanan Dibangkit Pada Sesi Perbahasan Parlimen

isu pendidikan parlimen

Isu Pendidikan, Sekuriti Makanan Dibangkit Pada Sesi Perbahasan Parlimen

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) — Isu berkaitan pendidikan dan sekuriti makanan di negara ini antara perkara dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen dalam sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang menimbulkan isu pendidikan, menggesa kerajaan supaya menggerakkan langkah reformasi pendidikan bagi menilai sejauh mana pelaksanaan falsafah dan dasar pendidikan kebangsaan dengan memulakannya di peringkat universiti.

“Ada dua sebab ia bermula di universiti. Pertama, matlamat membina insan baik (good man) dan bukannya sekadar pekerja baik (good worker), harus digarap melalui konsep insan kamil (sempurna) yang dimodel pada keperibadian Rasulullah SAW.

“Sebab kedua ialah kerana hampir seluruh spektrum kehidupan ditentukan dan diwarnakan oleh lulusan universiti,” katanya yang merupakan Ketua Portfolio Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Perikatan Nasional.

Beliau turut mencadangkan Kementerian Pendidikan mencari jalan agar dapat menggalakkan penerima manfaat daripada dasar atau program pendidikan negara sebelum ini untuk kembali menyumbang kepada negara.

BACA JUGA: Jangan Salahkan JAIS, Jangan Nak Marah Kerajaan Selangor – UAI

“Contohnya, sesetengah alumni sekolah, seperti SBP (Sekolah Berasrama Penuh) kanan atau sekolah-sekolah premier, diberi insentif cukai bagi membolehkan mereka membuat kutipan dana dengan lebih agresif, yang dapat membiayai sebahagian daripada keperluan alma mater mereka,” kata Saifuddin.

Turut membangkit isu sama, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta kerajaan  meneruskan pemberian peruntukan kepada semua sekolah aliran seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Mubaligh menerusi Belanjawan 2023.

“Pembentangan Belanjawan 2023 pada kali ini lain sedikit, saya minta supaya ia (peruntukan kepada sekolah aliran) tidak dilenyapkan kerana (bekas Menteri Kewangan) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dahulu ada nyatakan RM1.1 bilion (peruntukan) dan ia merupakan ‘over and above’ daripada sekolah-sekolah daif,” katanya.

Mengenai sekuriti makanan pula, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkata Malaysia perlu mencontohi negara maju lain, khususnya negara empat musim dalam soal teknologi penyimpanan bekalan bagi kegunaan waktu bencana atau peralihan musim untuk mengawal harga makanan.

Beliau berkata ia berikutan Malaysia kaya dengan pelbagai jenis tanaman, penternakan dan perikanan namun sering berdepan dengan isu kekurangan bekalan makanan, selain jumlah import makanan yang dilihat semakin meningkat setiap tahun.

“Itu sebabnya, kombinasi infrastruktur dan teknologi canggih yang amat kritikal dalam membantu menormalkan turun naik harga pasaran makanan daripada kekurangan bekalan makanan disebabkan sekatan politik, ketidakcekapan pasaran, alam sekitar dan krisis awam.

“Teknologi penyimpanan makanan akan meningkatkan tahap sekuriti (makanan), isu logistik juga merupakan isu yang perlu ditangani dalam keselamatan atau keterjaminan makanan,” kata Mohd Shahar.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

Sumber: BERNAMA

The post Isu Pendidikan, Sekuriti Makanan Dibangkit Pada Sesi Perbahasan Parlimen appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*