Jangan Simpan, Jokowi Minta Warga Indonesia Berbelanja

Jokowi Minta Warga Indonesia Berbelanja

Jangan Simpan, Jokowi Minta Warga Indonesia Berbelanja

Presiden Indonesia, Joko Widodo berpendapat warga Indonesia perlu mengurangkan menyimpan duit, sebaliknya berbelanja untuk pelbagai tujuan.

Katanya, dengan berbelanja seperti membeli belah, membeli tiket konsert atau menghadiri acara sukan, perbelanjaan pengguna ini akan menjadikan ekonomi negara lebih rancak.

Ujar Jokowi lagi, sebanyak RM 201.37 bilion simpanan rakyat Indonesia ‘tidak bergerak’ sejak orang ramai memperlahankan perbelanjaan pada 2022. Dengan situasi pandemik mula mereda dan banyak sektor ekonomi dibuka, pihak berkuasa perlu memainkan peranan aktif mempromosikan semula aktiviti ekonomi di kawasan masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan pemerintah-pemerintah provinsi pada Khamis.

Jokowi minta pemerintah provinsi galakkan warga Indonesia berbelanja

”Orang ramai tidak mahu membeli, tidak mahu singgah di restoren, tidak mahu ke pasar-pasar dan juga pusat membeli belah. Bagi mereka, duit lebih baik disimpan di dalam bank.

”Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Orang awam perlu digalakkan untuk berbelanja sebanyak yang mungkin, supaya ekonomi kita hidup semula,” katanya.

Menurut Bloomberg, ini bukanlah kali pertama Presiden negara terbesar di Asia Tenggara itu berkempen supaya orang ramai berbelanja.

Dua tahun lepas, Jokowi turut melakukan saranan yang sama ketika Minggu Membeli Belah dalam usahanya untuk memacu semula pertumbuhan ekonomi Indonesia.

Perbelanjaan pengguna menyumbang lebih daripada separuh kepada ekonomi ke-16 terbesar di dunia itu. Ia dijangka berkembang sekitar 5.1 peratus pada tahun ini.

Lulus permit acara lebih cepat

Jokowi juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan meluluskan permit pelbagai acara sekurang-kurangnya sebulan lebih awal. Ia bagi memberi ruang kepada pihak penganjur melakukan promosi secara besar-besaran dengan lebih meluas.

Ketika ini, dianggarkan terdapat lebih 3,000 acara bakal berlangsung di Indonesia pada tahun 2023. Antara acara terbesar yang bakal dijalankan adalah Piala Dunia FIFA B20 dan konsert mega artis antarabangsa seperti Blackpink dan Suga BTS.

Katanya lagi, dengan deretan acara ini, pemain industri tidak boleh melepaskan peluang mengadakan promosi bagi menarik lebih ramai pelancong asing ke Indonesia.

Peniaga-peniaga kecil juga perlu ‘menghidupkan’ pusat jualan masing-masing, supaya pengunjung berbelanja sebanyak yang mungkin.

”Jangan biarkan RM 201.37 bilion ini duduk diam di dalam bank begitu sahaja,” ujar Jokowi lagi.

BACA: Rating Rendah, Running Man Perlu Bersedia Dibubarkan

Sumber: Bloomberg

The post Jangan Simpan, Jokowi Minta Warga Indonesia Berbelanja appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*