JDT bedal Kedah

Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) memastikan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pulang hampa selepas meratah pasukan itu 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan JDT kekal mendominasi takhta liga dengan mengumpul 22 mata selepas lapan perlawanan manakala skuad kendalian Nafuzi Zain kekal di tangga kelapan dengan hanya enam mata malah ia kekalahan ketiga skuad Sang Kenari di tangan Harimau Selatan musim ini.

Sebaik babak pertama bermula, skuad kendalian Hector Bidoglio tidak menunggu lama untuk berada di hadapan selepas hantaran Heberty Fernandes disudahkan Bergson da Silva menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol, Kalamullah A-Hafiz Mat Rowi pada minit kelapan.

JDT menambah gol kedua pada minit ke-38 juga menerusi rembatan Bergson hasil kesilapan Mohd Akmal Md Zahir yang kurang cermat mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Tuan rumah terus mengganas selepas rehat dengan meledak gol ketiga selepas bola hantaran Afiq Fazail membolehkan Bergson menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan Kalamullah.

Derita KDA FC berterusan apabila giliran Feroz Baharudidn mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-73 sebelum pemain gantian Murilo Henrique menjadikan kedudukan 5-0.

sumber: HM

Harimau Selatan melengkapkan pesta mereka dengan jaringan keenam pada minit ke-79 selepas bola rembatan Arif Aiman Hanapi terkena tiang gol sebelah kiri yang kemudiannya pantas disudahkan dengan rembatan oleh Afiq.