‘JDT boleh belasah Selangor lebih teruk’

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) mungkin akan meraih kemenangan lebih besar sekiranya ada ‘tambahan’ lebih banyak masa pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Ia susulan ketua jurulatihnya, Hector Bidoglio percaya bahawa pasukannya akan terus menambah jaringan jika perlawanan itu diteruskan dengan 10 minit lagi.

Pengendali dari Argentina itu menegaskan bahawa falsafah permainan Harimau Selatan adalah menyerang dan terus menyerang lawan tanpa memikirkan jumlah jaringan.

“Kepala saya sentiasa memikirkan kemenangan, saya tidak ragu kerana saya percaya 100 peratus kepada pemain, saya percaya 100 peratus kepada bos kami (Tunku Mahkota Ismail).

“Jika perlawanan diteruskan dengan 10 minit lagi, mungkin kami akan terus menjaringkan gol kerana secara fizikal JDT sangat bagus dan bermain dengan baik.

“Namun, ini adalah bola sepak, saya tidak tahu apa akan berlaku jika perlawanan diteruskan. Apa pun saya amat gembira kerana hari ini, pemain bermain dengan sangat baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

JDT mengecapi satu lagi detik gemilang apabila menjulang Piala FA buat kali keempat dengan penuh bergaya selepas membelasah juara lima kali, Selangor 6-1 di hadapan 80,350 penonton yang membanjiri Stadium Nasional.

Kejayaan itu menyaksikan Harimau Selatan mencipta sejarah baharu apabila muncul pasukan pertama melakar hatrik menjulang Piala FA selepas memenanginya pada 2022 dan 2023.

Malah, skuad Harimau Selatan turut menetapkan rekod baharu sebagai pasukan yang meraih kemenangan terbesar di pentas final Piala FA sejak pertama kali dipertandingkan pada tahun 1990.

sumber: BH

Selain itu, Bidoglio percaya risiko yang diambil dengan menggunakan strategi ‘all out attack’ berlandaskan formasi 3-6-1 dianggap berjaya sehingga memberi kesukaran buat Selangor.

“Anda boleh lihat bagaimana kita menguasai bola dan pujian wajar diberikan kepada semua pemain yang beraksi dengan baik dalam perlawanan ini.

“Mungkin Juan Muniz berjaya meledak hatrik sekali gus membuktikan kualiti yang dia ada. Namun kemenangan ini adalah hasil kerja keras satu pasukan dan kami berhak untuk menang,” katanya.