ALOR SETAR: Kegagalan pihak DSAT Group Sdn Bhd melalui anak syarikatnya, Mahsuri Medical Centre (MMC), meneruskan rundingan pembelian kelab Sang Kenari mencetus persoalan.
Urusan rundingan melalui peguam berkenaan dihentikan secara tiba-tiba oleh pihak pengurusan KDA FC.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MMC Dr Zaki Zamani Abd Rashid, walaupun pihaknya menerima kenyataan berkaitan KDA FC yang tidak akan meneruskan perbincangan tentang penjualan 100 peratus saham kepada pihak DSAT Sdn Bhd dengan hati terbuka, pihaknya kesal sekiranya keputusan itu mungkin didorong oleh sentimen yang tidak sihat pihak tertentu yang boleh menjejaskan reputasi syarikat milik Datuk Seri Azizul Tandek.
Menurutnya lagi, proses rundingan melalui peguam yang sepatutnya diteruskan itu terpaksa dihentikan sebaik menerima surat maklum balas kedua daripada pihak KDA FC hari ini yang memaklumkan bahawa KDA telah membuat keputusan mengubah pendirian mereka dan tidak meneruskan perbincangan mengenai pengambilalihan 100 peratus saham KDA FC.
“Pihak MMC telah menerima surat maklum balas kedua daripada pihak KDA FC pada 11 November 2024, dan surat ini memaklumkan bahawa KDA telah membuat keputusan mengubah pendirian mereka sebelum ini untuk tidak meneruskan perbincangan mengenai pengambilalihan 100 peratus saham KDA FC walaupun setelah bersetuju melalui surat maklum balas pada 7 November 2024 untuk perbincangan pengambilalihan terbabit secara teratur dan jelas melalui pihak peguam masing-masing.
“Pihak MMC menerima keputusan KDA FC ini dengan hati yang terbuka. Walaubagaimanapun, MMC berpandangan keputusan yang diambil oleh KDA FC pada hari ini mungkin dipengaruhi oleh sentimen tidak sihat dan merupakan cerminan kenyataan pihak tertentu yang mahu mencemarkan reputasi MMC dan khasnya DSAT Group.
“Mengambil kira perkembangan ini, pihak MMC khasnya DSAT Group tidak menolak kemungkinan ada pihak yang perlu dipertanggungjawabkan di atas kerosakan reputasi DSAT Group ini melalui tindakan undang-undang,” katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini.
Dalam pada itu, pihak MMC dan DSAT Group juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong usaha pihaknya untuk memiliki KDA FC walaupun gagal.
“Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada KDA FC dan didoakan semoga akan sentiasa cemerlang dalam arena bola sepak tanah air,” katanya.
sumber: BH
Hasrat syarikat DSAT Sdn Bhd yang sejak awal menyatakan niat untuk memilki KDA FC melalui surat anak syarikatnya MMC bertarikh 3 November lalu telah mencetus perhatian serta membuka topik perbincangan yang hangat dalam kalangan penyokong dan pemerhati politik tanah air pada ketika ini.