KDA FC belum boleh selesa

ALOR SETAR: Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag menuntut pemain mengulangi komitmen terbaik mereka apabila berdepan skuad Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi timbal balik kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam esok.

Andrag yang kini memikul tugas ketua jurulatih sementara selepas penguduran Nafuzi Zain berkata, kemenangan tipis 3-2 yang dicatatkan Sang Kenari pada aksi pertama di Stadium Darul Aman pada 22 November lalu ini tidak memberi jaminan buat pasukan untuk layak ke saingan suku akhir.

Tiga gol berkenaan dihasilkan melalui dua jaringan oleh kapten pasukan Sony Norde dan disusuli satu lagi jaringan oleh Sukhrob Nurullaev.

“Untuk aksi di tempat lawan ianya perlawanan yang berbeza dan sukar kerana kami hanya menang di sini 3-2 dengan margin atau bekalan yang sedikit dan ia bukan satu kelebihan untuk layak.

“Dengan kelebihan bekalan satu gol itu kami perlu lebih fokus dan terus bekerja keras disamping tidak boleh mengambil mudah sepanjang aksi ini berlangsung kerana pihak lawan juga mahu bangkit selepas tewas pada aksi lalu.

“Jadi apa yang saya mahukan daripada pemain adalah komitmen yang telah mereka tunjukkan pada aksi lalu dan teruskan usaha bersama-sama beberapa pemain bawah 23 yang baru bersama pasukan,” katanya yang mengadakan persiapan bersama pasukan di Stadium Sultan Abdul Halim.

Menyentuh mengenai senarai pemain yang akan beraksi pada aksi timbal balik kedua ini, Andrag juga yakin semua pemain akan turun beraksi meskipun terdapat pemain utama yang menarik diri disaat akhir pada perlawanan pertama di Stadium Darul Aman.

sumber: BH

Dia berharap perkara tarik diri itu tidak berlaku lagi kerana pemain juga berjanji sebelum ini yang mereka bersetuju untuk beraksi bersama pasukan.