Kedah Darul Aman FC Bertemu JDT Sekali Lagi

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain mahu mengukuhkan benteng skuad kendaliannya apabila sekali lagi berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat ini.

Selepas disekat ke final Piala FA apabila tewas 0-3 pada saingan separuh akhir kedua di laman yang sama Ahad lalu, beliau mahu skuadnya kembali fokus menghadapi saingan Liga Super dengan berharap tidak lagi mengalami kekalahan.

“Matlamat kami pada aksi sekali lagi menentang JDT dalam saingan Liga Super kali ini tetap sama iaitu terus berjuang mendapatkan keputusan yang positif walaupun ia dilihat sukar di tempat lawan.

“Kami tidak putus asa selepas tewas pada saingan Piala FA, sebaliknya kami mahu terus tingkatkan lagi usaha untuk setiap perlawanan liga bagi memperbaiki kedudukan,” katanya.

Dalam pada itu, Nafuzi juga berkata beliau sudah mengesan beberapa kelemahan pada aksi Liga Super dan Piala FA yang perlu segera diatasi.

sumber: BH

“Kami juga perlu pastikan jentera serangan dapat ditajamkan bagi memastikan setiap peluang dimanfaatkan,” katanya.

KDA FC yang dipotong tiga mata susulan isu tunggakan gaji, kini berada pada tangga kelapan liga dengan memungut enam mata selepas melakar tiga kemenangan, dua kekalahan dan satu seri.