Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Harus Berwaspada

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain menyeru skuadnya kembali bangkit bagi mendapatkan semula rentak kemenangan apabila melayan kunjungan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Darul Aman petang esok.

Sang Kenari yang kini berada pada tangga kelapan liga dibelasah oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-6 pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), 9 Ogos lalu.

“Kami mahu pastikan tidak lagi keciciran mata seperti apa yang kami lalui dalam dua perlawanan yang lalu, dan kami perlu terus tingkatkan lagi keupayaan dalam semua aspek bagi memastikan perancangan kami tercapai.

“Saya berharap setiap pemain dapat memberikan fokus dan tunjukkan semangat kebangkitan terbaik mereka di hadapan penyokong setia yang akan hadir,” katanya selepas menjalani latihan di Stadium Sultan Abdul Halim semalam.

Nafuzi bagaimanapun meminta anak buahnya berwaspada dengan skuad Hobin Jang Hobin yang turut turun membawa impian untuk bangkit semula mendapatkan tiga mata di bawah kendalian jurulatih baharu, K Nanthakumar.

“Saya harap pemain tetap berwaspada dengan pihak lawan yang juga mahukan kebangkitan selepas mereka juga tewas dalam tiga aksi sebelum ini.

“Jika kami lalai, mereka mampu melakukan kejutan dan sudah pasti ianya akan memberi kesukaran buat kami di laman sendiri.

sumber: BH

“Selepas tewas, pastinya setiap pasukan mahukan kebangkitan. Oleh itu kami tidak boleh melakukan kesilapan yang akan membuka ruang pihak lawan mengambil kesempatan dan akan merugikan pasukan sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya.