Kedah Darul Aman (KDA) FC dianggap mempunyai alasan yang kukuh

KUALA LUMPUR: Pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC dianggap mempunyai alasan yang kukuh ‘memboikot’ latihan sekiranya mereka tidak menerima gaji dalam tempoh yang lama.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, pemain KDA didakwa tidak menerima tujuh bulan gaji dan sekiranya benar, ia dilihat sebagai situasi yang amat sukar terpaksa dilalui pemain Sang Kenari.

Pemain bagaimanapun turun beraksi pada 20 September lalu ketika menentang Sri Pahang FC yang berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.

BH Sukan sebelum ini melaporkan pemain KDA didakwa belum menjalani latihan dan ia dikatakan berpunca daripada tindakan boikot susulan isu dalaman kelab itu yang dipercayai membabitkan tunggakan gaji.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah secara peribadi berpandangan bahawa pemain ada hak untuk tidak hadir latihan, namun mereka juga perlu memaklumkan kepada pengurusan kelab.

Beliau yang sudah lebih 20 tahun bertindak sebagai ejen pemain berkata, pemain juga mungkin berdepan tekanan tinggi berikutan isu tunggakan gaji yang memberi kesan besar terhadap mental mereka.

“Tidak pergi latihan memang salah, tapi jika gaji tidak dibayar dalam tempoh yang lama dan pemain sudah bagi notis kepada pengurusan, jadi pemain ada hak.

“Pemain ada alasan yang kukuh, tapi mereka perlu beri tahu kepada pengurusan untuk tidak akan hadir ke latihan sehingga dapat gaji lama.

“Jika dua atau tiga bulan tidak dapat gaji saya fikir pemain akan pergi latihan, tapi kalau betul sampai tujuh bulan, itu sudah teruk. Namun, dalam keadaan ini pengurusan nak ambil tindakan apa terhadap pemain, sebab mereka pun salah.

“Mungkin dengan tindakan boikot, pemain berharap akan ada tindakan pantas dari pengurusan kelab untuk cari dana dan menyelesaikan isu gaji,” katanya kepada BH Sukan.

Sebelum ini, Effendi menjelaskan, berdasarkan kontrak biasa, pemain boleh memohon untuk menamatkan kontrak sekiranya tidak dibayar gaji selama lebih dua bulan.

sumber: BH

Pemain bagaimanapun perlu mengemukakan surat kepada majikan memaklumkan niat untuk menamatkan kontrak dan surat berkenaan juga perlu dihantar kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).