Kelab Bola Sepak Celtic Bakal Didenda UEFA, “Fans” Tak Endah Larangan Kibar Bendera Palestin

Celtic bendera palestin

Kelab Bola Sepak Celtic Bakal Didenda UEFA, “Fans” Tak Endah Larangan Kibar Bendera Palestin

Celtic berkemungkinan dikenakan satu lagi tindakan tatatertib dari UEFA selepas penyokong kelab itu tidak mengendahkan larangan mengibarkan bendera Palestin ketika perlawanan menentang Atletico Madrid awal pagi tadi, lapor Daily Mail.

Sebelum perlawanan bermula, kelab bola sepak Celtic telah mengeluarkan kenyataan merayu kepada penyokong supaya fokus untuk menyokong perjuangan kelab tersebut dalam aksi Liga Juara-Juara berbanding agenda lain.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan Ultras pasukan Celtic iaitu Green Brigade menaikkan sepanduk pro-Palestin pada perlawanan menentang pasukan Kilmarnock dalam aksi Liga Perdana pada 7 Oktober lalu semasa konflik di Timur Tengah tercetus.

Dalam kejadian awal pagi tadi, sebilangan besar penyokong telah bertindak mengibarkan bendera Palestin selepas Green Brigade berkata bahawa bendera akan diedarkan di luar stadium.

Susulan kejadian itu, juara Scotland tersebut berkemungkinan akan didenda oleh badan induk Eropah buat kali ketiga berhubung kejadian itu.

Pada 2014, UEFA telah mendenda kelab itu sebayak £16,000 (RM92,600) selepas penyokong mengibarkan bendera Palestin semasa perlawanan menentang KR Rejkjavik. 

Kredit X

Dua tahun kemudian, Green Brigade sekali lagi telah bertindak mempamerkan bendera itu dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara menentang pasukan daripada Israel yang bernama Hapoel Be’er-Sheva.

Dalam kedua-dua kes itu, UEFA telah mengambil tindakan berdasarkan artikel 16.2.e di mana pasukan yang melanggar peraturan boleh dikenakan tindakan denda.

Ia termasuk gerak isyarat, perkataan, objek atau apa-apa cara lain untuk menghantar mesej yang tidak sesuai dalam acara sukan.

Terutamanya mesej yang bersifat politik, ideologi, agama, menyerang atau provokatif.

Kini, Celtic sekali lagi bakal berdepan dengan tindakan denda.

Perkara tersebut secara tidak langsung telah meningkatkan ketegangan di antara orang atasan kelab dan kumpulan Ultras.

Celtic dilaporkan telah membatalkan tiket Green Brigade untuk hadir ke perlawanan di Hearts pada hujung minggu lalu serta telah menghalang mereka untuk memasuki stadium pada perlawanan awal pagi tadi.

“Kita telah menyaksikan kematian, keganasan dan kemusnahan di Tanah Suci dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Dengan beribu-ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak terbunuh, cedera dan kehilangan tempat tinggal.

“Kita sedang menyaksikan tragedi dalam skala yang mengerikan. Ketika ia terjadi, semua orang di Celtic berdoa untuk mereka yang terjejas.

“Kami juga berharap dan berdoa untuk keamanan dan bantuan kemanusiaan agar sampai kepada mereka yang memerlukan dan berada dalam ketakutan.

“Ramai daripada kenalan, penyokong, rakan serta keluarga kami terkesan susulan daripada konflik ini.

“Berlatarbelakangkan konflik dan kesakitan ini, sukan boleh mempromosikan keamanan dan mempamerkan kemanusiaan serta empati kepada semua yang sedang menderita.

“Untuk perlawanan Liga Juara-Juara UEFA menentang Atletico Madrid awal pagi nanti, pemain Celtic dan Atletico Madrid serta staf kejurulatihan akan memakai lilitan lengan hitam, untuk memberi penghormatan dan sokongan kepada semua yang terkesan oleh konflik.

“Kelab mengakui bahawa setiap penyokong mempunyai pandangan peribadi masing-masing. Sebagai sebuah kelab yang terbuka kepada semua, kita semua berhak berada di Celtic Park.

“Celtic Park adalah tempat di mana kita datang untuk sokong kelab kita. Menyedari perkara ini, menghormati beratnya tragedi yang berlaku dan kesannya terhadap komuniti di Scotland dan seluruh dunia, dan selaras dengan kelab lain, liga dan persatuan lain, kami memohon supaya sepanduk, bendera dan simbol yang berkaitan dengan konflik membabitkan negara-negara yang terlibat tidak dipaparkan di Celtic Park untuk ketika ini.

“Ketika kita sedang menghampiri perlawanan yang penting ini, seperti biasa, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para peminat atas sokongan yang positif kepada pemain dan pasukan.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan berterusan anda kepada Kelab Bola Sepak Celtic,” tulis Celtic FC dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum perlawanan menentang Atletico Madrid.

Kenyataan itu dibuat selepas Green Brigade mengeluarkan satu kenyataan yang meminta penyokong untuk mengibarkan bendera Palestin.

“Bagi mereka yang tidak memperoleh bendera, Green Brigade akan mengedarkan beribu-ribu bendera di luar stadium.

“Walaupun ia lebih mudah untuk dilakukan di dalam stadium, kami bagaimanapun dilarang utuk membawa bendera ke dalam stadium. Kami menghormati hak semua peminat yang tidak mahu mengambil bahagian dalam tindakan sedemikian.

“Namun begitu, kami meminta yang lain supaya hormat dan berikan kebebasan kepada penyokong yang ingin melakukannya,” tulis kenyataan Ultras kelab Celtic.

BACA: Jangan Marah Anak Kalau Malas Ke Sekolah, Mungkin Dia Dah Kena ‘Usik’

Sumber: Daily Mail

The post Kelab Bola Sepak Celtic Bakal Didenda UEFA, “Fans” Tak Endah Larangan Kibar Bendera Palestin appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*