KUALA LUMPUR: Aksi final Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC (SFC) diharap dapat menjadi landasan terbaik mengukuhkan lagi hubungan erat antara penyokong kedua-dua pasukan.
Itu antara harapan bekas pemain Johor era 90an, Rizal Sukiman yang melihat pertembungan dua pasukan gergasi ini sebagai perlawanan tumpuan puluhan ribu penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Apatah lagi sempena Hari Kemerdekaan yang bakal tiba pada 31 Ogos ini, sudah tentu apa yang diinginkan adalah untuk menyaksikan keharmonian dan perpaduan yang utuh dapat ditonjolkan oleh seluruh rakyat Malaysia pada hari perlawanan itu nanti.
Justeru, inilah masanya untuk melihat bagaimana sukan bola sepak ini akan terus menyuntik semangat harmoni dalam kalangan penyokong bagi membuktikan perlawanan sebegini mampu membentuk hubungan positif dan progresif seiring dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “Jiwa Merdeka”.
Meskipun perlawanan final itu dilihat sebagai pertembungan hangat antara JDT dan Selangor, tetapi bekas pemain yang pernah memenangi Piala FA pada tahun 1998 bersama Johor ini mengharapkan agar tiada provokasi yang tidak sepatutnya berlaku selain semua penyokong perlu lebih bersikap matang agar dapat menikmati perlawanan ini dengan harmoni.
“Bagi saya, final ini adalah perlawanan yang wajib ditonton oleh seluruh peminat sebab menemukan dua pasukan terbaik pada waktu ini.
“Apa yang penting, kena profesional baik atas padang atau luar padang. Penyokong sudah tentu menyokong pasukan kesayangan mereka tetapi semuanya kena ada batas.
“Apabila perlawanan sudah berakhir dan wisel penamat ditiupkan, kalah menang semuanya kita sudah saksikan atas padang, jadi tak perlu untuk menyambung perlawanan di luar padang. Cukup 90 minit dalam perlawanan sahaja.
sumber: BH
“Jadikanlah aksi final ini satu tempat untuk kita mengharmonikan hubungan masing-masing sebab kadang-kadang mestilah akan ada yang suka buat provokasi.
“Jadi, setiap penyokong haruslah bijak dan berlapang dada apabila menyokong pasukan masing-masing”, katanya.