Kertas Putih: Bukan cari salah, tapi tambah baik

JOHOR BAHRU: Penubuhan Jawatankuasa Kertas Putih bagi meneliti perolehan vaksin Covid-19 bertujuan mecari cara terbaik untuk melakukan penambahbaikan dengan mengambil maklum ia dibuat ketika negara berada dalam keadaan darurat.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, penubuhannya bukan bertujuan mencari salah laku pentadbiran terdahulu.

“Kita tubuhkan jawatan kuasa untuk lihat sudut penyediaan kertas putih pembelian vaksin. Dalam masa sama kita juga lihat beberapa perkara yang boleh tambah baik selepas dengar pembentangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Ia bukan bertujuan melihat kesilapan atau kesalahan tetapi lebih mencari cara terbaik yang lebih berintegriti bagi memastikan ada juga keuntungan pada pihak kerajaan.

“Kita faham perolehan itu dilakukan pada waktu darurat, tetapi mungkin ada beberapa perkara yang boleh kita titikberatkan,” katanya selepas merasmikan Wellness Hub Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini semalam.

Beliau mengulas perkembangan penubuhan jawatan kuasa kertas putih berkaitan perolehan vaksin Covid-19.

Dr. Zaliha berkata, laporan kertas putih berkenaan akan dibentangkan kepada Kabinet terlebih dahulu sebelum dibawa dalam sidang Parlimen.

Dalam pada itu, pihaknya telah mengambil maklum tentang Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 berhubung 93 daripada 136 unit ventilator yang diperoleh kerajaan tidak dapat digunakan sehingga mengakibatkan kerugian bernilai RM13.07 juta.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat keraguan dalam perolehan vaksin Covid-19 dan kos berkaitan ketika tempoh pandemik. – UTUSAN

The post Kertas Putih: Bukan cari salah, tapi tambah baik appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*