Kes Sulu: Stampa Akan Diheret Ke Mahkamah Jenayah, Suara Malaysia Didengar Di Madrid 11 Dis – Azalina

kes sulu malaysia madrid

Kes Sulu: Stampa Akan Diheret Ke Mahkamah Jenayah, Suara Malaysia Didengar Di Madrid 11 Dis – Azalina

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) — Penimbang tara Sepanyol Dr Gonzalo Stampa akan dibicarakan di Mahkamah Madrid pada 11 Dis ini atas dua kes jenayah berkaitan final award kepada Kumpulan Sulu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata Mahkamah Madrid sendiri yang telah menyiasat dan mengeluarkan tuduhan ke atas kesalahan yang dilakukan oleh Stampa dan jika beliau didapati bersalah atas pertuduhan itu, beliau akan dikenakan hukuman penjara dan didenda oleh mahkamah berkenaan.

“Tarikh pendengaran itu ditetapkan berikutan permohonan agresif dan berterusan oleh Kerajaan Malaysia. Ini bukan tuntutan sivil tetapi Stampa berhadapan dengan tuntutan jenayah.

“Ini adalah faktor utama yang memberikan consistency kepada kesimpulan Kerajaan Malaysia bahawa award yang diberi oleh Stampa selaku penimbang tara antarabangsa adalah satu pelaksanaan award yang boleh dilihat sebagai tidak sah dan tidak berasas,” katanya ketika temu ramah bersama media yang diadakan secara dalam talian.

Azalina kini berada di London untuk fasa ketiga tuntutan lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu, bagi berjumpa dengan peguam-peguam lantikan Kerajaan Malaysia dalam menangani tuntutan mereka, seterusnya menyangkal taktik dan hujahan mereka secara komprehensif.

Menurut Azalina, award yang diumumkan oleh Stampa ke atas Kerajaan Malaysia sebanyak US$14 billion dilihat sebagai satu ‘fraud award‘ kerana mahkamah yang melantik beliau sebagai penimbang tara ialah mahkamah sama yang telah menarik pelantikannya.

“…tetapi beliau (Stampa) masih meneruskan pendengaran kes timbang tara antarabangsa dan melompat ke negara lain untuk melaksanakan keputusan yang telah beliau buat terhadap Kerajaan Malaysia.

“Sebab itulah bagi Kerajaan Malaysia, tuntutan kes jenayah yang dilakukan beliau yang ditetapkan pendengaran pada 11 Dis amat penting untuk kita mematikan segala tuntutan yang telah dilaksanakan oleh Stampa,” katanya.

BACA JUGA: Malaysia Menang Lagi Kes Tuntutan Sulu, Matikan Gerakan Rampas Aset Negara -Azalina 

Tambah Azalina, kerajaan Malaysia akan menghadiri prosiding kes itu kerana Malaysia merupakan pengadu.

“Macam kes jenayah di Malaysia, kalau kita buat laporan polis kita kena masuk mahkamah untuk memaklumkan kita yang buat laporan itu. Jadi suara kerajaan Malaysia akan didengar oleh Mahkamah Jenayah Madrid… sebab kita konsisten dalam pernyataan dan alasan kita tentang sifat beliau (Stampa) yang melanggar undang-undang timbang tara antarabangsa,” katanya.

Malaysia kini dalam proses membatalkan award akhir US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang diberikan oleh Stampa dalam kes yang dibawa oleh lapan individu mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Pada 6 Jun lepas, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diberikan pada 25 Mei 2020 oleh Stampa dalam kes yang difailkan oleh lapan individu itu.

Stampa telah memberikan award akhir sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada kumpulan itu dan Malaysia terpaksa menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkannya di mahkamah Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

Malaysia melakar satu lagi kejayaan apabila Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda pada 27 Jun menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir tersebut di negara itu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan award akhir itu, kumpulan Sulu dilaporkan cuba menyita aset syarikat petroleum Malaysia iaitu Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis (termasuk kedutaan).

Pada 2019, kumpulan itu dilaporkan telah memulakan tindakan perundangan di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Sumber: BERNAMA

The post Kes Sulu: Stampa Akan Diheret Ke Mahkamah Jenayah, Suara Malaysia Didengar Di Madrid 11 Dis – Azalina appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*