KUALA LUMPUR: Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor FC mengumumkan Katsuhito Kinoshi sebagai ketua jurulatih baharu skuad Gergasi Merah.
Menerusi kenyataan Selangor FC, Kinoshi memiliki kepakaran dalam membangunkan pasukan, strategi serta pembangunan pemain muda yang akan menjadi aset besar kepada kelab itu dalam usaha mencapai kejayaan.
Pengendali kelahiran Tokyo itu memiliki pengalaman luas dan pernah bekerjasama dengan figura terkenal dalam dunia kejurulatihan bola sepak – Dragan Stojkovic, Giovanni van Bronckhorst dan Akira Nishino.
Kinoshi bersama Stojkovic ketika mengendalikan Nagoya Grampus Eight dari tahun 2008 hingga 2014 sebelum mereka sekali lagi bergandingan dalam skuad kebangsaan Serbia (2021-2024) dan berjaya membawa skuad ‘The Eagles’ muncul juara Kumpulan B4 Liga Negara-Negara UEFA 2022-23.
Kinoshi juga pernah berkelana ke China apabila beliau bekerjasama dengan Van Bronckhorst di Guangzhou City dari 2015 hingga 2021.
Beliau menyatakan amat teruja untuk bekerja dengan barisan pemain Selangor yang berbakat dan menjangkakan pasukan yang teratur, dinamik dan bersedia untuk berjuang bagi setiap perlawanan.
“Saya merasa satu penghormatan menyertai Selangor FC dan teruja untuk bekerja dengan pemain berbakat di sini.
“Kami akan berusaha untuk membina pasukan yang bukan sahaja kukuh dari segi taktikal, tetapi juga penuh dengan semangat dan tekad untuk berjaya,” katanya.
Pengumuman yang dibuat Selangor sekali gus menamatkan spekulasi mengenai pengendali baharu Gergasi Merah dan naib juara Piala FA 2024-25 itu sedang memasuki satu fasa baharu yang penuh berpotensi.
sumber: BH
Jawatan ketua jurulatih Selangor kosong selepas Nidzam Jamil membuat keputusan mengejut meletakkan jawatan pada 30 Oktober lalu.