KPM bertemu ibu bapa pelajar ditampar jurulatih

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi terhadap tindakan seorang jurulatih menampar dua pelajarnya baru-baru ini dan mengarah siasatan lanjut berhubung insiden tersebut.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau tidak akan bertoleransi dengan keganasan serta isu-isu negatif membabitkan pelajar sekolah dan memaklumkan Bahagian Integriti dan Tatatertib KPM kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden terbabit.

“Kita belum buat apa-apa keputusan lagi (terhadap pelakunya) sebab kita tunggu laporan dari bahagian berkenaan (Bahagian Integriti) terlebih dahulu,” katanya ditemui ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan beberapa wakil daripada KPM sudah pun bertemu ibu bapa pelajar terlibat dan memberikan bantuan kaunseling kepada pelajar berkenaan.

“Selain pertemuan, kami menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka juga turut telah memberikan nasihat kaunseling kepada dua pelajar ini.

“Kami amat prihatin dengan isu yang berlaku dan kini sedang mendapatkan maklum balas berhubung kejadian itu,” ujarnya.

Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan insiden seorang jurulatih pasukan bola tampar bawah 14 tahun Melaka menampar dua pemainnya.

Insiden tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak dengan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) telah menggantung guru terbabit daripada terlibat dalam aktiviti bola tampar yang dikendalikan persatuan itu. – UTUSAN

The post KPM bertemu ibu bapa pelajar ditampar jurulatih appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*