Lebih 400,000 Kanak-kanak Alami Masalah Kesihatan Mental Di Malaysia – Kajian 2019

kanak-kanak kesihatan mental malaysia

Lebih 400,000 Kanak-kanak Alami Masalah Kesihatan Mental Di Malaysia – Kajian 2019

Lebih daripada 400,000 orang kanak-kanak di Malaysia dilaporkan mengalami isu kesihatan mental, berdasarkan sebuah laporan yang dikeluarkan pada 2019.

Data ini telah dinyatakan dalam satu hantaran Facebook yang dimuat naik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 5.13 petang tadi.

Menurut KKM, angka berkenaan diperoleh hasil dapatan daripada Laporan National Health and Morbidity Survey (NHMS) yang dilaksanakan pihaknya pada 2019.

Hasil laporan mendapati seramai 424,000 orang kanak-kanak di Malaysia mengalami isu kesihatan mental.

Selain itu, terdapat peningkatan peratusan bagi golongan remaja yang mempunyai kemurungan serta terlibat dengan niat ingin membunuh diri dan percubaan bunuh diri.

Bukan itu sahaja, KKM turut melaporkan berlaku peningkatan isu kesihatan mental golongan dewasa juga yang berada pada paras yang membimbangkan.

“Laporan NHMS pada tahun 2019 menunjukkan sebanyak setengah juta (2.3 peratus) penduduk dewasa yang berumur 18 tahun ke atas mengalami kemurungan.”

Manakala, kes kemurungan tertinggi dicatatkan berlaku dalam beberapa golongan masyarakat. Antaranya golongan wanita, penduduk luar bandar, individu yang belum berkahwin dan individu berpendapatan rendah.

“Ini termasuk peningkatan dalam trend bunuh diri, iaitu sebanyak 1,142 kes bersamaan dengan peningkatan 81 peratus pada tahun 2021, berbanding 631 kes pada tahun 2020 berdasarkan laporan oleh Polis Diraja Malaysia.”

KKM turut menasihati orang awam berkenaan kepentingan untuk mengenali tanda-tanda masalah kesihatan dalam kalangan ahli keluarga.

Orang ramai juga diseru untuk mendapatkan bantuan profesional di fasiliti-fasiliti kesihatan yang terdekat, sekiranya memerlukan.

Hantaran yang sama turut memuatkan foto-foto Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa yang merasmikan Karnival Segamat Sihat di Dataran Segamat, Johor pada pagi ini.

Penganjuran karnival berkenaan adalah bersempena Hari Sukan Negara, Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Bulan Kesedaran Kanser Peringkat Daerah Segamat Tahun 2023.

Jelasnya, Hari Sukan Negara 2023 merupakan antara salah satu agenda kerajaan bagi merealisasikan Visi Sukan Negara 2030 untuk mendorong rakyat hidup dengan lebih sihat, aktif, dan berdaya saing.

Selain daripada aktiviti secara fizikal, masyarakat juga diseru agar tidak meminggirkan aspek kepentingan kesihatan mental.

Hal ini kerana, kesihatan mental dan fizikal saling bergantungan antara satu sama lain dan merupakan aspek penting dalam kehidupan.

“Pasca pandemik Covid19 merupakan titik tolak kepada peningkatan kes berkaitan masalah mental.

“Tema sambutan Hari Mental Sedunia tahun ini adalah “Kesihatan Mental Milik Semua, Hentikan Stigma”,” tulis KKM pada ruangan kapsyen.

BACA: Nak Elak Isu Remeh, Apa Kena Buat Kalau Pasangan Seorang Gamer? Sokong Atau Halang?

BACA: 5 Kesilapan Ramai Buat Bila Shopping Kat Mydin Yang Boleh Sebabkan Korang ‘Rugi’

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia via Facebook

The post Lebih 400,000 Kanak-kanak Alami Masalah Kesihatan Mental Di Malaysia – Kajian 2019 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*