Lelaki Disyaki Curi Telefon Bimbit Maut Dalam Kemalangan Libatkan Tiga Kenderaan

Lelaki Curi Telefon Kemalangan

Lelaki Disyaki Curi Telefon Bimbit Maut Dalam Kemalangan Libatkan Tiga Kenderaan

BATU PAHAT, 28 Mac (Bernama) — Seorang lelaki yang disyaki mencuri sebuah telefon bimbit maut, manakala tiga cedera dan seorang terselamat, dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu, melibatkan kereta Proton Wira, Perodua Axia dan Mazda CX5.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Mazda, lelaki berusia 31 tahun mengekori belakang Wira, dipandu seorang lelaki 39 tahun bersama penumpang lelaki 43 tahun dari Taman Putera Indah, sebelum Mazda itu hilang kawalan dan terlanggar belakang Wira.

“Akibat pelanggaran itu Wira pula hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan Axia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat di sini hari ini.

Beliau berkata akibat kemalangan itu, penumpang Wira meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu hanya cedera ringan, sementara sepasang suami isteri yang menaiki Axia mengalami cedera parah manaka seorang lelaki yang menaiki Mazda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ismail berkata berdasarkan siasatan, motif pemandu Mazda mengekori Wira disebabkan penumpang Wira itu, dipercayai telah mengambil dan melarikan telefon bimbit milik pemandu Mazda tanpa izin.

BACA JUGA: Polis Tahan 27 Individu Jadikan Empat Unit Rumah Tempat Edar Dadah

Ismail berkata kesemua mangsa yang cedera telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kes berasingan, Ismail berkata seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan bersama dadah disyaki ganja seberat 63.12 kilogram bernilai RM156,000 yang dianggarkan boleh digunakan seramai 31,560 penagih dadah, dalam satu serbuan di Yong Peng di sini, Ahad lepas.

Beliau berkata modus operandi sindiket pengedaran yang mula aktif sejak awal bulan ini, dengan menjadikan rumah dan kereta sebagai stor penyimpanan dadah, sebelum diedar ke pasaran tempatan.

Ismail berkata lelaki itu direman tujuh hari bermula semalam hingga 1 April ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam satu lagi kes lain, dua lelaki tempatan berusia 26 dan 29 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun pusat snooker dan kedai telefon bimbit sekitar Parit Sulong di sini, Sabtu lepas.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sumber: BERNAMA

The post Lelaki Disyaki Curi Telefon Bimbit Maut Dalam Kemalangan Libatkan Tiga Kenderaan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*