Lesen Pengendali Sepadu Ikhlas Dibatalkan Serta Merta

lesen sepadu ikhlas

Lesen Pengendali Sepadu Ikhlas Dibatalkan Serta Merta

PUTRAJAYA, 26 Sept (Bernama) — Lesen pengendali syarikat Sepadu Ikhlas Sdn Bhd dibatalkan berkuat kuasa serta-merta susulan kemalangan maut membabitkan lima kenderaan termasuk lori yang dikendalikan syarikat itu di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, di Johor, pada 1 Sept lepas.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini berkata hasil siasatan mengenai kemalangan yang mengakibatkan enam sekeluarga maut itu mendapati syarikat tersebut tidak mematuhi keperluan syarat berkanun lesen yang ditetapkan.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pembatalan dan Penggantungan Lesen (JPPL) memutuskan untuk membatalkan lesen pengendali syarikat itu atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan pemanduan secara berbahaya.

Pembatalan lesen itu juga kerana gagal mematuhi syarat lesen iaitu keperluan keselamatan seperti yang senarai di bawah Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan lori yang telah tamat tempoh ketika kemalangan berlaku.

“Tindakan pembatalan lesen pengendali syarikat ini berkuat kuasa serta merta dan ditegaskan selepas tempoh pembatalan tersebut, sebarang transaksi berhubung dengan lesen pengendali bagi syarikat berkenaan tidak akan dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut APAD semakan dengan agensi berkaitan mendapati syarikat itu turut mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

BACA: Tiada Lagi Ujian Teori Kali Kedua, Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Penambahan Kelas Lesen Memandu

“Kementerian Pengangkutan sekali lagi ingin menegaskan pendirian untuk tidak sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang membabitkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” menurut kenyataan itu.

APAD turut mengingatkan pengendali berlesen agar memantau prestasi pemandu kenderaan masing-masing dan memastikan aspek kebajikan pemandu terjaga setiap masa demi keselamatan pengguna jalan raya lain.

“APAD berharap tindakan yang dikenakan ke atas syarikat pengendali ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada pengendali lain untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara yang melibatkan hal keselamatan,” katanya.

Enam sekeluarga yang meninggal dunia dalam kemalangan tersebut ialah pasangan suami isteri Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43, serta empat anak mereka Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Kemalangan berlaku setelah kereta Perodua Alza dinaiki keluarga berkenaan bertembung dengan sebuah lori.

Sumber: BERNAMA

The post Lesen Pengendali Sepadu Ikhlas Dibatalkan Serta Merta appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*