Makanan Tradisi Malaysia, CIA Kongsi Fakta Nasi Lemak Raih Tumpuan Ramai

cia nasi lemak

Makanan Tradisi Malaysia, CIA Kongsi Fakta Nasi Lemak Raih Tumpuan Ramai

Malaysia negara yang menarik bukan saja kerana kepelbagaian budaya yang unik, tapi juga kerana bermacam-macam makanan istimewa yang menjadi kebanggaan masyarakat.

Dalam banyak makanan dan menu yang ada, tidak dapat dinafikan lagi nasi lemak telah muncul sebagai makanan kegemaran semua pihak sehingga diangkat sebagai ikon makanan negara ini.

Makanan tradisi ini adalah nasi yang dimasak dengan menggunakan santan kelapa untuk menambahkan rasa lemak. Ditambah pula dengan keharuman daun pandan, setiap suapan kaya dengan rasa dan aroma.

Nasi lemak biasanya dihidangkan dengan telur rebus, timun, ikan bilis goreng, kacang goreng, dan sambal. Kini, ia juga dijual bersama dengan pelbagai lauk, termasuk daging, ayam, sotong, udang, paru dan banyak lagi.

Rasanya tidak berlebihan kalau dikatakan bagi masyarakat Malaysia, nasi lemak bukan lagi sekadar makanan sebaliknya sudah sekian lama turut bertindak sebagai ejen pemersatu rakyat.

Sama seperti teh tarik dan roti canai, ia menjadi kegemaran pagi yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan harian.

Nasi lemak ‘mendunia’, jadi kegemaran warga tempatan dan pelancong

Namun baru-baru ini, satu hantaran daripada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat tiba-tiba mencuri tumpuan rakyat Malaysia.

Apa tidaknya, agensi perisikan antara yang disegani di dunia itu bertindak berkongsi beberapa fakta menarik tentang nasi lemak dengan pengikutnya.

“Nasi lemak dianggap sebagai sebagai makanan warisan Malaysia dan popular sebagai sarapan pagi masyarakat Melayu.

“Namanya dalam Bahasa Melayu jika diterjemah secara literal (ke BI) bermaksud “fat rice” kerana proses penyediaan membuatkan juadah ini menjadi berlemak dan penuh rasa.

“Nasi lemak adalah nasi yang dikukus di dalam santan bersama daun pandan, serai, halia dan herba-herba lain. Menu ini biasanya dihidangkan dengan telur rebus, ikan bilis dan kacang tanah yang digoreng serta sambal,” kata CIA dalam hantaran itu.

Hantaran berkenaan pantas mencuri tumpuan rakyat Malaysia. Tinjauan yang dibuat mendapati pengguna-pengguna Facebook dari negara ini tidak melepaskan peluang meninggalkan komen pada hantaran tersebut.

Perkongsian dibuat merupakan sebahagian daripada Buku Fakta Dunia CIA

Menurut CIA, info tentang nasi lemak itu merupakan sebahagian daripada maklumat ‘perisikan’ asas yang dikumpul dalam Buku Fakta Dunia CIA.

Buku itu menjadi sumber kepada orang awam mengenai pelbagai info menarik melibatkan 266 entiti di seluruh dunia.

Jadi, ini menandakan nasi lemak adalah salah satu maklumat tentang negara ini yang terkandung dalam buku tersebut.

Begitupun, info berkenaan bukan sekadar catatan semata-mata. Tetapi ini menunjukkan bahawa nasi lemak adalah simbol budaya yang patut diraikan, yang menarik minat dan kekaguman di peringkat global.

Bagi kita sebagai rakyat Malaysia, ini adalah satu lagi sebab untuk berasa bangga. Apabila warisan makanan kita diperkenalkan kepada dunia, ia membawa kita selangkah lebih dekat untuk menjadikan negara kita dikenali di mata dunia.

Jadi, jika anda berada di Malaysia, jangan lepaskan peluang untuk mencuba hidangan nasi lemak yang pastinya memikat selera.

BACA: Suspek Disyaki Simbah Air Panas Terhadap Lelaki Sindrom Down Sudah Ditahan

Sumber: Central Intelligence Agency (CIA) via Facebook

The post Makanan Tradisi Malaysia, CIA Kongsi Fakta Nasi Lemak Raih Tumpuan Ramai appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*