Mayat Bayi Baru Lahir Ditemukan Di Tempat Pembuangan Sampah

mayat bayi di tempat pembuangan sampah

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) — Mayat bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemukan di tempat pembuangan sampah di depan Rumah Kebajikan Taman Equine, Seri Kembangan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata polis menerima maklumat pada pukul 10.05 pagi daripada orang awam mengenai penemuan mayat bayi berkulit cerah yang dibalut dengan kain dan diletakkan di dalam beg berwarna jingga.

Beliau berkata mayat bayi itu dijumpai di dalam kotak sampah oleh pekerja pengutip sampah.

“Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran, dan menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi balai polis berdekatan.

Lagi, bayi ditemukan di kondo

Semalam, media melaporkan seorang bayi lelaki yang masih hidup dan masih bertali pusat ditemukan di Kondo Rakyat Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Bayi yang dianggarkan berusia antara lima hari hingga seminggu itu ditemukan oleh seorang penduduk Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, di bawah kerusi kayu di belakang dapur rumahnya pada 6.05 petang ketika baru pulang dari kerja.

Menurut Ahmad Fauzi, beliau terdengar suara tangisan bayi dari arah belakang rumah, bagaimanapun tidak mengendahkannya kerana menyangkakan ia datang dari rumah jiran.

“Selepas mengamatinya lebih lama, saya ke belakang dan terkejut apabila mendapati seorang bayi berada di atas simen di bawah kerusi kayu panjang,” ujarnya.

Katanya, ketika ditemukan bayi berkenaan hanya dipakaikan lampin pakai buang dan terdapat sehelai kain pelikat dipercayai digunakan untuk membalut tubuh bayi berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan bayi itu supaya menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan.

Sumber: BERNAMA

BACA: Bayi Lelaki Ditemukan Di Kondo Rakyat Kuala Ibai

The post Mayat Bayi Baru Lahir Ditemukan Di Tempat Pembuangan Sampah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*