Miracle Gaming Juara Mobile Legends Anjuran NAFAS-NEKMAT

miracle gaming mobile legends

Miracle Gaming Juara Mobile Legends Anjuran NAFAS-NEKMAT

IPOH, 13 Nov (Bernama) — Pasukan Miracle Gaming dari Putrajaya muncul juara Kejohanan Mobile Legends sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini.

Kejohanan yang julung kali diadakan anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) di bawah segmen Agro Millenia itu menyaksikan Miracle Gaming membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, trofi kejohanan serta sijil penyertaan.

Miracle Gaming yang diwakili lima remaja iaitu Akmal Aqil Sarbani, 22, Phan Junlarm (15), Hadi Hakimi Abu Bakar (19), Muhammad Hazril Haziq Khairol (17) dan Lim Jin Gian (18) berjaya menundukkan pasukan Watermelon 2-0.

Watermelon yang mempertaruhkan pemain profesional dari Lunatix iaitu Chong Wei Qian, 18, gagal terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga dirangkul Ftslr X Cecube manakala pasukan Extraordinary 7 di tempat keempat dan masing-masing membawa pulang hadiah RM500 dan RM400 beserta trofi serta sijil penyertaan.

BACA JUGA: Ada 11 Tahap, Ini Rupanya Cara Buat Bola Tenis

Pada majlis sama turut diadakan cabutan bertuah kepada 11 pengunjung dengan nilai keseluruhan RM10,000.

Hadiah disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim serta Pengurus Besar NEKMAT Azrin Shah Ismail dan Timbalan Pengurus Besar NAFAS Saripol Baharin Karim.

Sementara itu, Nik Mohd Shaharil ketika ditemui berkata penganjuran kejohanan e-sukan telah mencapai matlamat apabila menjadi antara penyumbang besar tarikan pengunjung dalam kalangan orang muda ke HPPNK 2023.

“Mungkin sebelum ini ramai anak muda tidak mengenali NAFAS atau NEKMAT mahupun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan kami cuba membawa kelainan dengan memperkenalkan melalui e-sukan,” katanya.

Pelbagai aktiviti dan acara diadakan Sambutan HPPNK 2023 yang julung kali diadakan di Perak selama tiga hari bermula Jumaat lepas, dengan berinspirasikan Konsep Malaysia MADANI yang memberi tumpuan kepada empat fokus utama iaitu Agro Millenia, Agro Teknologi dan lnovasi, Sejahtera MADANI dan Agro MADANI.

Sumber: BERNAMA 

The post Miracle Gaming Juara Mobile Legends Anjuran NAFAS-NEKMAT appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*