KUALA LUMPUR: Selangor FC memohon maaf kepada penyokong Gergasi Merah susulan kekalahan besar 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final Piala FA 2024/25 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menjelaskan Selangor akan cuba membanggakan penyokong dengan meraih keputusan lebih baik dalam kejohanan akan datang termasuk Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Mengakui kekalahan besar kepada JDT amat mengecewakan, beliau bagaimanapun berterima kasih kepada seluruh penyokong Gergasi Merah atas sokongan yang mereka berikan.
“Perkara yang kami paling sedih dan kecewa sebab tidak dapat memberikan sesuatu yang baik kepada peminat dan penyokong yang saya fikir menantikan perlawanan malam ini (tadi).
“Kami mohon maaf kerana tidak dapat berikan keputusan yang lebih baik, tapi kami akan terus memberikan komitmen untuk bekerja keras lagi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Selain gagal menamatkan penantian 15 tahun untuk kembali menjulang Piala FA, kekalahan kepada JDT juga menyaksikan Selangor menjadi pasukan yang mengalami kekalahan terbesar dalam sejarah perlawanan akhir kejohanan itu.
Selain itu, Johan turut menyifatkan kekalahan kepada Harimau Selatan sebagai keputusan yang sukar untuk diterima buat kelab itu.
Beliau bagaimanapun tetap berbangga dengan komitmen yang diberikan semua pihak termasuk barisan kejurulatihan dan pemain bagi aksi menentang JDT yang dianggap pasukan lebih berpengalaman.
sumber: BH
“Pengalaman JDT lebih luas dan mereka nampak lebih selesa bermain di final. Bagi Selangor, kami kena belajar dari kekurangan yang ada pada aksi final.
“Sudah pasti keputusan ini memang sukar untuk diterima, tetapi ia memberi kita satu peluang untuk muhasabah dan perbaiki apa yang kurang,” katanya.