Nahas Kapal Terbang Nepal: Pencarian Mayat Terakhir Diteruskan

Nahas Kapal Terbang Nepal

Pihak berkuasa Nepal telah mengumumkan bahawa tidak ada peluang untuk mencari mangsa terselamat dalam nahas kapal terbang, Yeti Airlines yang terhempas pada Ahad.

Menurut jurucakap polis, Tek Bahadur KC pada Rabu, beliau berkata, “Tidak ada kemungkinan untuk mencari mangsa yang terselamat. Kami telah mengumpul 71 mayat setakat ini. Pencarian yang terakhir masih diteruskan,”

Pesawat enjin berkembar ATR 72 itu dipercayai terjunam ke dalam gaung ketika dalam perjalanan dari Kathmandu ke bandar pelancongan Pokhara pada hari Ahad dengan membawa 72 penumpang.

Menurut jurucakap di lapangan terbang, pesawat itu terbang sejauh 12,500 kaki dan berada pada ketinggian normal.

Pesawat itu dilaporkan membawa 53 penumpang tempatan bersama 15 warga asing termasuk lima warga India, empat Rusia, dua orang warga Korea Selatan dan masing-masing satu dari UK, Australia, Argentina dan Perancis.

Nahas Kapal Terbang Nepal
Kredit: The Guardian

Jurucakap polis, Ajay KC berkata, “Untuk mengenal pasti dan membuat pengiraan mayat menjadi sukar kerana keadaan tragis mayat ketika ditemui,”

Pada hari nahas itu berlaku, seramai 68 mayat dijumpai manakala dua orang lagi ditemui pada Isnin. Malah, misi pencarian diteruskan sehingga menemukan satu lagi mayat mangsa pada petang Selasa.

Susulan itu, Pegawai Bahagian Operasi, Gurudutt Ghimire berkata, “Tiada apa-apa lagi di sana. Tetapi pencarian akan diteruskan,”

Sementara itu pada hari yang sama (Isnin), pihak berkuasa juga mengumumkan bahawa kotak hitam telah ditemui di lokasi kejadian.

Difahamkan, kotak hitam itu akan dihantar ke luar negara kerana Nepal tidak mempunyai fasiliti mencukupi untuk mengakses data peranti tersebut.

Bagaimanapun, sehingga kini punca kejadian masih belum dapat disahkan.

Nahas Kapal Terbang Nepal
Kredit: TODAY

Imbas kembali, kemalangan tragis itu dilaporkan berlaku kira-kira kurang dari seminit sebelum tiba di lokasi destinasi ketika cuaca sederhana dan angin tenang.

Bukan hanya itu, baru-baru ini tersiar video yang dirakam oleh seorang penumpang warga India (mangsa) menerusi siaran langsung (live) di Facebook miliknya beberapa saat sebelum nahas berlaku.

Melalui rakaman tersebut, dapat dilihat pesawat itu tiba-tiba membelok ke kiri hingga terdengar suara tangisan dan ketakutan penumpang bergema.

Situasi menjadi lebih teruk apabila rakaman itu didominasi oleh bunyi jeritan penumpang sebelum paparan visual bertukar ke warna jingga (suasana api marak) menandakan pesawat terhempas.

Menurut The Independent, nahas tersebut adalah yang paling teruk selepas kemalangan pada 1992 apabila kesemua penumpang seramai 167 orang yang menaiki pesawat Pakistan Internasional Airlines terbunuh selepas terlanggar bukit ketika melakukan pendaratan di Kathmandu.

Untuk rekod, hampir 350 nyawa telah terkorban dalam nahas kapal terbang atau helikopter di Nepal sejak tahun 2000.

Sumber: The Independent

The post Nahas Kapal Terbang Nepal: Pencarian Mayat Terakhir Diteruskan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*